Manfaat rakyat lebih penting daripada hapus legasi, hukum negeri pembangkang - Utusan Malaysia

Manfaat rakyat lebih penting daripada hapus legasi, hukum negeri pembangkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Jun – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa manfaat rakyat adalah lebih penting daripada menghapuskan legasi atau menghukum negeri pembangkang.

Perkara tersebut dijelaskan secara panjang lebar oleh Ahli Parlimen Pekan itu menerusi status yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya hari ini.

Berikut merupakan kenyataan penuh Najib:

Laporan media antarabangsa dua hari lalu menyebut, sejak memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerajaan Pakatan Harapan telah mengarahkan kesemua poster dan papan tanda dengan slogan ‘1Malaysia’ perlu diturunkan manakala perpustakaan kerajaan diminta tidak meletakkan buku yang ada menyebut tentang saya.

Laporan ini turut menyebut bangunan Exchange 106 di Tun Razak Exchange (TRX), yang lebih tinggi dari bangunan berkembar KLCC, terlepas daripada pembatalan berikutan pembinaannya semakin hampir siap.

Turut bernasib baik adalah projek infrastruktur awam yang memanfaatkan berpuluh juta rakyat seperti sambungan Transit Aliran Ringan 1 (LRT1) dan LRT2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), jambatan kedua Pulau Pinang, Transit Aliran Massa 1 (MRT1) dan MRT2, puluhan Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Lebuhraya Pan Borneo, Central Spine Road (CSR), projek yang sudah disiapkan atau pada peringkat terakhir untuk siap. Jika tidak, kerajaan Pakatan mungkin akan turut membatalkan projek-projek rakyat ini.

Saya tidak kisah jika kerajaan Pakatan Harapan berusaha untuk memadamkan segala legasi ditinggalkan sepanjang sembilan tahun saya sebagai Perdana Menteri namun, kerajaan perlu lebih telus dan lebih bertimbang rasa apabila mereka mula membatalkan pelbagai projek atau inisiatif yang dimulakan untuk manfaat rakyat dan negara, hanya kerana mahu memadamkan legasi saya atau mempunyai persepsi, ia dimulakan oleh saya, lantas ia perlu dihenti atau dipadamkan.

Dalam tempoh dua minggu, kerajaan Pakatan sudah membatalkan projek Kereta api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan MRT3 di sebalik kajian yang dilakukan mengambil masa bertahun-tahun yang menunjukkan manfaat ekonomi melampaui kos pembinaannya. Projek MRT3 juga diperlukan bagi memperlengkapkan jaringan bagi mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih berintegrasi di Lembah Klang dan tanpanya, Lembah Klang akan terus berdepan dengan peningkatan masalah kesesakan jalan raya.

Satu lagi projek yang mahu dibatalkan oleh Perdana Menteri dua hari lalu ialah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sangat diperlukan bagi pembangunan jajaran pantai timur Malaysia.

Biarpun Fasa 1 projek ini bagi Gombak hingga Kota Bahru sudah melepasi status 20 peratus siap dan pembatalannya akan menyebabkan kos RM22 bilion, kerajaan PH tetap mahu membatalkannya atau menangguhkan projek ini.

Saya juga difahamkan, pembayaran pembinaan bagi projek ECRL ini adalah berdasarkan kepada pencapaian pembinaan dan bukan bersandarkan kepada tempoh masa sebagaimana didakwa kerajaan Pakatan. Bagaimanapun, itu tidak menghentikan Pakatan Harapan untuk menggunakan maklumat tidak betul itu sebagai alasan untuk membatalkan projek bermanfaat kepada rakyat ini.

Tidakkah siapa sedar yang tiga negeri yang bakal menerima manfaat paling banyak daripada ECRL ini iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, adalah negeri yang bukan di bawah kerajaan Pakatan.

Adakah ini satu kesinambungan daripada amalan menghukum negeri pembangkang sebagaimana dilakukan Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun apabila Kelantan dinafikan kemudahan asas rakyat seperti lebuhraya, jalan raya, bekalan air dan pembangunan infrastruktur pembentungan?

Ketika saya sebagai Perdana Menteri, saya telah memastikan kesemua negeri, tidak kira negeri di bawah pembangkang sekalipun, menerima pembangunan infrastruktur asas untuk manfaat rakyat.

Sebab itu, kerajaan persekutuan pada ketika pentadbiran saya telah menyalurkan berpuluh bilion Ringgit bagi membantu penstrukturan bekalan air di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Berikutan Kelantan agak ketinggalan dari segi pembangunan berbanding negeri lain, saya juga telah memastikan Kelantan menerima lebih banyak dana pembangunan bagi manfaat rakyat dan projek menaiktaraf lebuhraya, bekalan air dan infrastruktur pembentungan. Lebuh raya CSR yang tidak dikenakan tol di mana sebahagian besarnya sudah dibuka kepada pengguna adalah salah satu contoh.

Kerajaan PH sudah diberi mandat untuk mentadbir, maka adalah menjadi hak mereka untuk memadamkan legasi saya atau menghukum negeri pembangkang dengan membatalkan projek bermanfaat untuk rakyat namun saya menggesa kerajaan hari ini, jika mahu membuat pembatalan projek bermanfaat kepada rakyat ini, ia perlu dilakukan melalui cara yang telus dan penelitian yang terperinci dengan mendapatkan pendapat rakyat.

Sekali lagi, saya menggesa kerajaan PH untuk mendedahkan laporan impak ekonomi dan kajian kebolehlaksanaan bagi kesemua projek manfaat rakyat ini untuk diakses rakyat.

Kerajaan tidak seharusnya membatalkan projek atas motif yang salah atau memberi alasan sebagaimana mereka lakukan pada kenyataan mengenai hutang negara yang tidak tepat, tetapi mereka juga perlu mengambil kira pembangunan positif ekonomi, peluang pekerjaan yang akan hilang serta manfaat buat rakyat yang akan disumbang projek ini untuk negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN