Lori tangki terbalik selepas berlanggar dengan kereta - Utusan Malaysia

Lori tangki terbalik selepas berlanggar dengan kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH – Sebuah lori tangki dengan muatan diesel 20,000 liter terbalik selepas berlanggar dengan sebuah kereta di Kampung Pelangai Hilir di sini mengakibatkan berlakunya tumpahan bahan api itu di kawasan kemalangan terbabit, pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 7.46 pagi itu, pemandu kenderaan berat tersebut yang berusia 46 tahun cedera pada lutut, manakala pemandu kereta jenis Proton Saga BLM yang belum dikenalpasti cedera pada kepala.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Zakaria Ramli berkata, lori tangki berkenaan dalam perjalanan dari arah Kuala Pilah menuju ke Bahau, manakala kereta itu dari arah bertentangan.

Menurutnya, ketika pihaknya tiba di tempat kejadian, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sudah membantu mengeluarkan dan menghantar mereka ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di Kuala Pilah.

“Pemandu lori terbabit dan pemandu kereta yang cedera dikejarkan ke hospital oleh anggota APM untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun, kelindan lori itu tidak mengalami kecederaan.

“Kemalangan menyebabkan polis terpaksa menutup sementara jalan di kedua-dua arah memandangkan kerja-kerja mengalihkan lori serta pemindahan diesel masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mohd. Zakaria berkata, kemalangan tersebut mengakibatkan tumpahan dan kebocoran diesel yang telah mengalir ke sungai berhampiran.

“Ada berlaku sedikit tumpahan minyak diesel dan syarikat pemilik lori tangki tersebut turut ke lokasi kejadian untuk menyedut dan memindahkan minyak diesel ke lori tangki berasingan selain berusaha mengalihkan kenderaan yang terbalik itu.

Tambahnya, kerja-kerja pemindahan diesel ke lori lain dan menaikkan lori tangki itu dijangka mengambil masa sehingga pukul 2 petang ini.

Susulan itu pengguna dinasihat menggunakan laluan alternatif untuk ke Kuala Pilah atau menuju ke Bahau. K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN