KUALA PILAH – Sebuah lori tangki dengan muatan diesel 20,000 liter terbalik selepas berlanggar dengan sebuah kereta di Kilometer 6, Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir mengakibatkan berlakunya tumpahan bahan api itu berhampiran Kampung Pelangai Hilir di sini pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 7.50 pagi, pemandu kenderaan berat tersebut, M. Loganathan, 46, cedera pada lutut manakala pemandu kereta jenis Proton Saga BLM yang juga kakitangan Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini, Nuur Azmi Azman berumur dalam lingkungan 30-an mengalami kecederaan pada kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, lori tangki tersebut dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Batu Kikir dan berlanggar dengan kereta itu yang datang dari arah Serting menuju ke tempat kerja Nuur Azmi di sini.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati Proton Saga itu dipercayai masuk ke laluan bertentangan lalu dilanggar oleh lori tangki muatan diesel yang gagal mengelak sebelum kenderaan berat tersebut hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan.
“Kejadian menyebabkan lori tangki itu terjatuh ke cerun sebelah kanan jalan dan terbalik sehingga mengakibatkan tumpahan minyak diesel,” katanya dalam satu kenyataan semalam.










