PUTRAJAYA – Lima kementerian akan membangunkan Pelan Hala Tuju Kesejahteraan Kanak-kanak peringkat kebangsaan untuk menangani isu-isu yang meliputi pemakanan berkhasiat, pendidikan, perumahan dan kemiskinan di negara ini.
Kementerian berkenaan ialah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Dalam Negeri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, adanya keperluan untuk membangunkan pendekatan yang lebih bersepadu, diselaraskan dan teratur dalam menangani kanak-kanak yang terbantut dan terpinggir, termasuklah kanak-kanak tanpa kerakyatan dan kanak-kanak pelarian.
Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata, input bagi rangka kerja pelan hala tuju itu akan diperoleh dan disusun pada mesyuarat peringkat pegawai-pegawai kanan.
“Tarikh akhir bagi pelan hala tuju itu adalah satu bulan dan menteri yang bertanggungjawab akan memantau kemajuan di setiap kementerian. Tidak lama lagi, kita akan melihat pelan tindakan yang menyeluruh dan boleh dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah ini, “katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama-sama lima kementerian berkenaan di sini, hari ini. – Bernama











