KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan melaksanakan proses baharu permohonan penyeteman melalui pengenalan Sistem Frangki Digital 2.0 (DFS 2.0).
Proses baharu berkenaan, menggantikan DFS 1.0 yang telah digunakan sejak 2011, merupakan usaha berterusan LHDNM untuk menambah baik penyampaian perkhidmatannya kepada pelanggan khususnya pembayar duti setem.
“Kami percaya DFS 2.0 yang berteknologi tinggi mampu mengelakkan kes pemalsuan duti setem mengelakkan kesalahan ketika memasukkan data yang ditulis secara manual pada doket memudahkan proses kemasukan data dilakukan serta semakan pengesahan ketulenan setem dapat dilakukan dengan lebih berkesan,” menurut LHDNM dalam satu kenyataan hari ini.
“Melalui proses baharu ini, pembayar duti setem atau ejen tidak perlu lagi mengisi Borang PDS1 secara manual sebaliknya borang tersebut akan disediakan secara dalam talian dan boleh dilengkapkan oleh mereka dengan mudah,” katanya.
Tiga kaedah akan disediakan bagi permohonan penyeteman melalui DFS 2.0 ini iaitu Aplikasi Komputer (Windows), Aplikasi Mudah Alih (Mobile Apps) dan Kaunter Layan Diri di pejabat LHDNM.
Menurut LHDNM, bagi kaedah Aplikasi Komputer dan Aplikasi Mudah Alih, pembayar duti atau ejen dikehendaki memuat turun aplikasi tersebut terlebih dahulu sama ada melalui Play Store bagi Android atau Apple Store bagi iOS.
DFS 2.0 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula di Kaunter Duti Setem LHDNM Pejabat Satelit Cyberjaya pada 29 Jun ini sebelum ia diperluaskan di Pejabat Setem LHDNM sekitar Lembah Klang mulai 30 Julai ini dan semua Pejabat Duti Setem LHDNM seluruh negara pada 30 Ogos depan. – Bernama











