Lelaki ugut letup MH128 dipenjara 12 tahun - Utusan Malaysia

Lelaki ugut letup MH128 dipenjara 12 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE 7 Jun – Seorang lelaki yang mengancam untuk mele­tup dan memasuki kokpit pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH128, ketika dalam pe­nerbangan dari Melbourne ke Kuala Lumpur dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh mahkamah hari ini.

Kejadian pada Mei tahun lalu itu menyebabkan penerbangan MH128 terpaksa berpatah balik ke Melbourne sejurus berlepas apabila lelaki warga Sri Lanka terbabit, Manodh Marks yang berada di bawah pengaruh dadah secara palsu mendakwa pembesar suara mudah alih dan pek bateri yang dibawanya adalah bahan letupan.

Lelaki berusia 25 tahun itu didakwa mengambil methamphetamine atau lazimnya dikenali sebagai ‘ice’, menuju ke lapangan terbang dan mengalami delusi selain cuba memasuki kokpit sambil mengugut untuk memusnahkan pesawat itu de­ngan bom.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penumpang dan kru bukan sahaja bimbang tetapi yakin bahawa kamu (tertuduh) sememangnya memiliki bom,” tegas Hakim Mahkamah Daerah Victoria, Michael McInerney ketika menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Ketika kejadian, Marks yang merupakan penuntut jurusan sajian makanan berjaya ditangkap dan tangannya diikat oleh kru serta penumpang pesawat dengan menggunakan tali pinggang seluarnya semasa pesawat tersebut berpatah balik ke Melbourne.

Terdahulu, hakim mendapati tiada rancangan awal atau motif yang berkaitan pengganas melibatkan tertuduh yang baru sahaja keluar dari sebuah pusat psikiatri sehari sebelum penerbangan tersebut.

“Bagaimanapun keadaan psi­kotik adalah disebabkan perbuatannya sendiri.

“Memandangkan jenayah ini yang serius sifatnya, terdapat keperluan untuk pencegahan umum dan juga pencegahan khusus,” jelas hakim.

Tertuduh mengaku bersalah atas dakwaan cuba memasuki kokpit dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun.

Mahkamah diberitahu tertuduh mula mengambil dadah jenis methamphetamine ketika memasuki negara ini pada 2016 dan telah beberapa kali menjalani rawatan pemulihan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini