MOSCOW 8 Jun – Media tempatan Rusia baru-baru ini mengeluarkan laporan mengenai Taras Shelest, lelaki yang menyamar menjadi juruterbang.
Menariknya, Shelest tidak pernah mengikuti pengajian penerbangan di universiti dan memalsukan sijil diplomanya, namun dia didakwa sudah ‘menerbangkan’ beribu-ribu penumpang di seluruh dunia selama beberapa tahun sehinggalah berlaku satu insiden yang mendedahkan identitinya.
Lapor Oddity Central, pada Ogos 2015, Shelest bertugas sebagai pembantu juruterbang dari Moscow ke Cyprus dan ketika memasuki ruang udara Ukraine, dia menghubungi menara kawalan dan menuturkan ucapan pelik – ‘Kemenangan kepada Ukraine!’ – berbanding menggunakan ucapan protokol yang ditetapkan.
Tindakan Shelest itu memakan dirinya sendiri apabila jabatan keselamatan syarikatnya menghubungi Agensi Perisikan Rusia (FSB) berhubung isu berkenaan.
Ketika FSB menyiasat latar belakang Shelest, mereka mendapati dia hanya menyamar menjadi juruterbang dan merupakan peminat penerbangan yang belajar menerbangkan pesawat menggunakan simulator serta memalsukan sijil diplomanya.
Shelest dikatakan lahir pada 19 Mei 1974 di bandar Yakhroma berdekatan Moscow dan sejak kecil bercita-cita menjadi juruterbang.
Dia sering ke lapangan terbang bersama rakan-rakannya, membaca buku mengenai penerbangan dan kemudian mempelajari cara membawa pesawat menggunakan simulator dengan bantuan rakan bapanya.
Shelest mempelajari ilmu penerbangan dengan serius sehingga dia mahir dengan segala terma teknikal berkaitan pesawat dan mampu menerbangkan pesawat dengan baik menggunakan simulator.











