SEREMBAN 19 Jun – Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta yang dipandunya dihempap pokok dan tiang elektrik dalam kejadian ribut di Jalan Dato Hamzah berhampiran Tasik Seremban di sini malam tadi.
Mangsa, C. Ranandra, 74, yang ditemukan tersepit di tempat duduk pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohamad Idris ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada pukul 10.27 malam dan sebuah jentera bersama lapan anggota dikerah ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, bomba mendapati mangsa tersepit di tempat duduk bahagian pemandu kerana keretanya dihempap tiang elektrik dan sebatang pokok yang tumbang akibat ribut.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila pokok berkenaan tumbang dan menghempap tiang elektrik sebelum kedua-duanya jatuh ke atas kereta mangsa yang melalui jalan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohamad memberitahu, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat. – UTUSAN ONLINE










