Lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun Sungai Kemaman - Utusan Malaysia

Lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun Sungai Kemaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN – Seorang pemuda berumur 20-an dikhuatiri  lemas selepas cuba melarikan diri dengan terjun dari sebuah kapal yang sedang dibaiki di Sungai Kemaman tengah malam tadi, kata Penolong  Penguasa Bomba dan Penyelamat Chukai Yahya Hanafi.

Beliau berkata ketika kejadian lelaki dan rakannya dikatakan sedang mengambil barangan terpakai di atas kapal itu sebelum disedari pekerja di limbungan tersebut.

“Terkejut dengan keadaan tersebut, mangsa dan rakannya itu cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai, lelaki itu yang tidak pandai berenang disyaki lemas manakala rakannya berjaya menyelamatkan diri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, hari ini.

Katanya, sebaik menerima laporan kejadian itu pada 12.37 malam, 10 anggota bomba dihantar di tempat  kejadian serta operasi  mencari dan menyelamat  dilancarkan dengan turut melibatkan anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pasukan skuba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Chukai dan Kuala Berang.

Beliau berkata setakat 7 malam ini lelaki itu masih belum ditemukan dan operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan pada waktu malam dengan menyusuri tebing sungai manakala operasi menyelam dihentikan dan akan disambung 7 pagi esok sekiranya perlu. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN