PEMILIHAN kepemimpinan UMNO kali ini dari peringkat cawangan, bahagian hinggalah ke teratas sekali, sudah tentu membawa perbezaan begitu ketara.
Ini kerana UMNO perlukan perubahan drastik untuk menebus kembali maruahnya yang telah tercemar hinggakan ia ditolak oleh rakyat.
Titik-tolak perubahan ini semestinya bermula dengan ‘siapa’ yang akan dipilih untuk mengemudi UMNO iaitu bermula jawatan Presiden, diikuti Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi.
Sebagai pemerhati, adalah dirasakan jika UMNO betul-betul mahu melakukan perubahan, ia perlu memastikan tidak ada mereka yang dipilih mempunyai apa jua bentuk political baggage.
Untuk mengikis persepsi negatif orang ramai terhadap pemimpin UMNO dan sebagai bukti kesungguhan untuk berubah, jangan ditonjolkan lagi atau dipilih mereka yang ‘bermasalah’.
Begitu juga mereka yang telah kecundang dalam pilihan raya baru-baru ini, sepatutnya tidak bertanding.
Bekerjalah untuk parti sebagai ahli biasa. Jika masih juga dipilih, orang ramai akan persoal di mana perubahan kerana banyak muka lama.
UMNO tidak ketandusan muka baharu untuk mara ke hadapan.
Persoalan besar, bolehkah UMNO dan ahli akar umbi menapis dan di peringkat atasan menyaring calon-calon yang betul-betul ikhlas berjuang.
Untuk kelangsungan parti dan menebus maruah berilah peluang dan ruang kepada muka baharu. Dalam hal ini, UMNO perlukan satu pasukan yang kuat, mencerminkan aspirasi generasi muda malah seluruh masyarakat majmuk Malaysia. Saya cadangkan selesai sahaja pemilihan dalam Perhimpunan Agung kali ini, semua pemimpin UMNO bermula dari ketua bahagian hinggalah ke Presiden perlu mengisytiharkan harta mereka. Ini langkah permulaan.
AHMAD SIDEK
Petaling Jaya










