NEW YORK 26 Jun – Atendan penerbangan atau kru kabin dilaporkan mudah terdedah kepada beberapa jenis penyakit kanser seperti kanser payu dara, rahim, serviks, tiroid dan kulit berbanding mereka yang bekerja dalam bidang lain.
Lapor Channel News Asia, pramugari juga berdepan risiko mengalami kanser payu dara sebanyak 51 peratus.
Menurut ketua penulis kajian, Eileen McNeely dari Harvard TH Chan School of Public Health di Boston, golongan itu juga mudah mengalami kanser kulit dan melanoma sebanyak dua hingga empat kali ganda berbanding orang lain.
Seramai 5,366 atendan penerbangan serta 2,729 golongan dewasa lain di Amerika Syarikat (AS) dengan latar belakang sosio ekonomi yang serupa sama ada mereka pernah disahkan mengalami kanser atau tidak, terlibat dalam kajian terbaharu berkenaan.
Sebelum ini, para saintis telah lama mengesyaki bahawa atendan penerbangan mudah terdedah kepada risiko kanser berikutan pendedahan kepada gelombang radiasi pada altitud tinggi, waktu bekerja, perubahan zon waktu dan kualiti udara kabin yang teruk.
Namun, dalam kajian berasingan pada April lalu melibatkan hampir 6,100 atendan penerbangan AS menunjukkan tiada kaitan antara radiasi kosmik dan beberapa jenis penyakit kanser.
Penulis utama kajian itu, Dr. Lynne Pinkerton dari Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Cincinnati, Ohio berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan radiasi yang berkaitan dengan ketinggian atau kitaran tidur yang terganggu mungkin dikaitkan dengan kanser.
Pengarah Program Pekerjaan dan Perubatan Penerbangan Awam di Universiti Otago, Wellington, New Zealand, Rob Griffiths pula menegaskan, golongan itu merupakan mereka yang kurang terdedah kepada kematian berkaitan segala penyakit melainkan berlakunya nahas pesawat.
“Mereka agak sihat dan kaya serta lebih cenderung untuk mendapatkan rawatan perubatan berbanding golongan lain. Jadi sekiranya berlaku kanser, mereka dapat tahu dengan lebih awal dan mampu mencegahnya,” jelasnya.











