Klinik Kesihatan Tampin terbakar awal pagi tadi - Utusan Malaysia

Klinik Kesihatan Tampin terbakar awal pagi tadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN – Sebahagian bangunan Klinik Kesihatan Tampin di sini terbakar 60 peratus, awal pagi tadi.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr. Zainudin Mohd. Ali berkata, kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 5 pagi itu melibatkan Unit Farmasi berukuran 12×27 meter persegi.

“Pasukan bomba dipanggil dan dua jentera bomba datang mengawal kebakaran. Api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada pukul 7 pagi. 

“Tiada kehilangan nyawa atau kecederaan yang terlibat ekoran kebakaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zainudin memaklumkan, pemeriksaan mendapati hanya Unit Farmasi tersebut mengalami kerosakan. Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba serta kos kehilangan akibat kebakaran masih dalam siasatan Jabatan Kesihatan negeri.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, perkhidmatan Klinik Kesihatan Tampin akan dipindahkan sementara ke Klinik Pakar di Hospital Tampin serta-merta sehingga kerosakan dapat dibaikpulih dalam masa terdekat. 

“Semua pesakit yang memerlukan rawatan pesakit luar dan yang datang berkala boleh mendapatkan rawatan di Hospital Tampin buat sementara ini berkuat kuasa hari ini sehingga dimaklumkan kemudian.

“Sebarang pertanyaan yang melibatkan rawatan pesakit, boleh berhubung dengan Pejabat Kesihatan Tampin menerusi talian 06-4411643,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan memberitahu, laporan penuh siasatan berhubung kejadian tersebut dijangka siap dalam tempoh dua minggu. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN