KES TEOH BENG HOCK DISIASAT SEMULA? - Utusan Malaysia

KES TEOH BENG HOCK DISIASAT SEMULA?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, kita dikejutkan dengan beri­ta ba­hawa kes Teoh Beng Hock akan disiasat semula.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dipetik sebagai berkata, bahawa jemaah menteri telah merestui keputusan menyiasat semula kematian Beng Hock setelah perkara itu disetujui oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kita difahamkan bahawa satu mesyuarat akan diadakan oleh pihak-pihak tertentu dengan Peguam Negara yang baharu dilantik, Tommy Thomas, bagi maksud menentukan bentuk rasmi siasatan semula itu.

Bercakap mengenainya di Ibu pejabat DAP baru-baru ini, Guan Eng berkata, siasatan semula kes ini bertujuan memberi keadilan kepada ahli keluarga Beng Hock dan punca kematian Beng Hock yang sebenar perlu dipastikan.

Beng Hock (ketika itu berusia 30 tahun) dijumpai mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam setelah disoal siasat selama 11 jam di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan itu.

Mendiang disiasat sebagai seorang saksi dalam satu kes jenayah penyalahgunaan peruntukan oleh beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri.

Beliau pada ketika itu adalah Setiausaha Politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah. Mayat Beng Hock ditemui dalam keadaan terlungkup. SPRM pada masa itu menyatakan tidak jelas sama ada beliau mati akibat terjatuh atau terjun daripada bangunan.

Pada 5 September 2014, tiga ahli panel Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak keputusan terbuka (open verdict) yang dibuat oleh koroner mengenai kematian Beng Hock, dan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menolak permohonan semakan semula oleh keluarga Beng Hock, sebaliknya memutuskan pemuda itu mati selepas jatuh daripada bangunan yang disebabkan tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau lebih yang tidak dikenali, termasuk pegawai SPRM.

Dalam penghakimannya, Datuk Mohamad Ariff menyatakan bahawa kecederaan yang dialami Beng Hock sebelum jatuh menandakan wujudnya unsur-unsur jenayah, sambil menegaskan bahawa kepentingan awam menghendaki kes ini disiasat lebih lanjut lagi.

Datuk Hamid Sultan pula menegaskan undang-undang negara ini tidak membenarkan saksi ditahan dan disoal-siasat sepanjang malam, dan menggesa Ketua Polis Negara segera membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Datuk Mah Weng Kwai pula menyatakan ketiadaan cap jari Beng Hock di bingkai tingkap ruang pejabat SPRM di tingkat 14 itu adalah petunjuk mendiang mungkin telah diletakkan di situ oleh seseorang sebelum ditolak jatuh.

Malah dalam keadaan tidak sedar, mendiang langsung tidak dapat melawan ketika dilempar keluar.

Ekoran keputusan mahkamah itu, SPRM diperintah membayar ganti rugi (pampasan) sebanyak RM600,000 (dan kes RM60,000) kepada keluarga Beng Hock.

Mahkamah juga mengarahkan pihak polis menyiasat lanjut kematian berkenaan.

Bagaimanapun, Pejabat Peguam Negara kemudian memutuskan bahawa tiada unsur jenayah dalam kematian Beng Hock.

Peguam ahli keluarga Beng Hock pada masa itu, Gobind Singh Deo, memberitahu media bahawa ahli keluarga mendiang mahu pihak polis menjalankan siasatan yang lebih lanjut mengenai kematian beliau dan membawa mereka yang terlibat menyebabkan kematiannya ke muka pengadilan.

Untuk mengingatkan pembaca ruangan ini tentang rentetan kes Beng Hock, di bawah ini dinyatakan kronologi kes tersebut –

16 Julai 2009 – Mayat Beng Hock ditemui di tingkat 5 Bangunan Plaza Masalah, Shah Alam, oleh seorang pekerja kira-kira jam 1.30 petang.

22 Julai 2009 – Jemaah menteri putuskan satu inkues dijalankan untuk menyiasat punca kematian Beng Hock, manakala satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (Royal Commission of Inquiry, RCI) ditubuhkan untuk menyiasat prosedur dan method siasatan SPRM.

29 Julai 2009 – Seramai 77 orang dikenal pasti untuk dipanggil memberi keterangan di in­kues.

* 5 Ogos 2009 – Inkues bermula.

* 17 Disember 2010 – Inkues berakhir; Koroner Azmil Muntapha Abas menetapkan 5 Januari 2011 untuk menyampaikan keputusannya.

5 Januari 2011 – Mahkamah Koroner mengumumkan keputusan terbuka, yang bermakna ia tidak dapat memutuskan punca kematian Beng Hock.

* 26 Januari 2011 RCI ditubuhkan.

10 Mei 2011 – RCI menamatkan prosidingnya selepas memanggil 70 orang saksi.

22 Jun 2011 – RCI mengemukakan laporan rasminya kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

21 Julai 2011 – Kandungan laporan RCI didedahkan kepada orang awam. Ia menyatakan Beng Hock membunuh diri kerana tidak tahan didera oleh tiga pegawai SPRM.

* 24 Ogos 2011 – Keluarga Beng Hok memfail permohonan semakan kehakiman ke atas dapatan RCI.

2 Februari 2012 – Mahkamah Rayuan memberi izin untuk menyemak semula keputusan terbuka Koroner.

5 September 2014 – Mah­ka­mah Rayuan sebulat suara mengetepikan keputusan Koroner.

12 Mei 2015 – Kerajaan dan SPRM setuju membayar ganti rugi RM600,000 kepada keluarga Beng Hock sebagai penyelesaian kes itu. Perintah berasaskan persetujuan (consent judgment) ini dibuat di hadapan Hakim Datuk Rosnaini Saub.

Keputusan Mahkamah Rayuan pada Mei 2015 hanya menjadi penutup kepada kes sivil (tuntutan ganti rugi) oleh ahli keluarga Beng Hock terhadap SPRM dan kerajaan Malaysia.

Ia tidak menutup apa-apa kes jenayah yang melibatkan mana-mana pihak berhubung kematian Beng Hock.

Di bawah undang-undang negara ini, jenayah tidak ada had atau batasan masa.

Pada bila-bila masa, orang yang terlibat dalam suatu jenayah itu boleh diheret ke muka pengadilan.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN