GUA MUSANG 24 Jun – Sebuah kereta mewah jenis BMW i8 rosak teruk selepas terbabas di Kilometer 69, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Kampung Sungai Lakit di sini, semalam.
![]() |
|
MOHD. TAUFIK MAIDIN
|
Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, seorang pemandu berusia 34 tahun dan seorang penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, kereta milik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri itu dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Gua Musang.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan selepas cuba mengelak seekor haiwan yang melintas.
“Ketika kejadian hujan renyai-renyai menyebabkan jalan licin sehingga pemandu tidak dapat mengawal kenderaannya lalu terbabas dan terbalik ke dalam longkang.
“Kita menerima laporan kejadian kemalangan itu daripada seorang pengguna jalan raya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Taufik, pemandu kenderaan itu telah membuat laporan mengenai kejadian tersebut.
Katanya, kenderaan mewah tersebut yang mengalami kerosakan pada cermin hadapan dan beberapa bahagian lain juga masih disimpan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang untuk siasatan lanjut.












