SAYA ingin melontarkan satu idea yang pernah satu ketika dahulu dilaksanakan oleh kerajaan iaitu kakitangan awam kerap ditukarkan dari satu negeri ke negeri lain.
Faktor utama langkah ini ialah memberi pendedahan serta pengalaman baharu kepada kakitangan berkenaan. Di samping itu, langkah tersebut membolehkan kakitangan awam memberi sumbangan serta idea baharu termasuk berdisiplin menguatkuasakan peraturan atau undang-undang.
Dengan kata lain, kakitangan terbabit tidak berada terlalu lama dalam sesebuah kawasan atau negeri. Mungkin antara tiga hingga lima tahun sahaja.
Langkah itu juga mengelakkan kakitangan tersebut ‘tepu’ dari segi sumbangan disebabkan terlalu lama berada di sesebuah lokasi tugas.
Pertukaran secara kerap juga dapat menghindarkan berlaku penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Apabila terlalu lama bertugas di sesebuah negeri itu, seseorang penjawat awam berisiko ‘terikat’ dengan orang-orang tertentu di sekelilingnya hinggakan mahu bertindak atau menguatkuasakan undang-undang pun akan sukar.
Memang diakui langkah bertukar secara kerap pada masa ini agak tidak sesuai disebabkan ia melibatkan jumlah peruntukan yang besar seperti elaun perpindahan, perumahan dan sebagainya.
Bagaimanapun, kerajaan disyorkan agar mempertimbangkan perkara ini termasuk dari segi baik dan buruknya kerana diyakini langkah tersebut boleh menjadikan agensi dan kementerian kerajaan lebih tegas dan berdisiplin selain menghindarkan salah laku.
KAKITANGAN AWAM BERPENCEN
Perlis










