KUALA LUMPUR 27 Jun – Kerajaan mempertimbangkan cadangan untuk menggabungkan dua entiti media di bawah satu pengurusan iaitu Radio Televisyen Malaysia dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, penggabungan itu bagi membolehkan penjimatan kos operasi kedua-dua organisasi media berkenaan.
Katanya, penjimatan kos itu juga boleh menghasilkan dana tambahan untuk melakukan kerja-kerja inovatif dan pewujudan kandungan moden.
“Pelan penggabungan itu adalah antara cadangan yang telah dinilai dalam tempoh enam bulan yang telah diberikan untuk melakukan tranformasi perkhidmatan RTM. Tempoh akhir itu adalah pada Disember ini.
“Jika ia (penggabungan) berlaku, berkemungkinan sektor berita akan disumberkan kepada Bernama dan jika ini dapat dilakukan, kerajaan dapat mengurangkan kos di RTM dan ini bermaksud kerajaan akan dapat mengumpul dana tambahan bagi dibelanjakan untuk kandungan,” katanya seperti dipetik laporan The Malaysian Reserve, di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE











