KUALA LUMPUR 25 Jun – Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kemenangan Recep Tayyip Erdogan dalam pilihan raya Presiden Turki sebagai sebuah kemenangan untuk dunia Islam.
Tambah Anwar, kemajuan Turki selepas ini akan lebih terjamin di bawah teraju kepemimpinan Erdogan yang dinamik.
“Saya juga yakin bahawa kemenangan anda juga merupakan kemenangan bagi dunia Islam dalam menggambarkan wajah moden dan progresif Islam yang merangkumi perubahan tanpa menjejaskan nilai iman dan ajaran asas Nabi Muhammad SAW.
“Saya juga ingin juga mengucapkan tahniah kepada rakyat Turki atas penyertaan aman dalam proses demokrasi negara mereka. Mandat yang diberikan oleh rakyat adalah bukti kepemimpinan anda bukan sahaja di Turki, tetapi di rantau ini dalam menghadapi masa yang mencabar,” katanya dalam surat perutusan tahniah kepada Erdogan seperti yang disiarkan dalam akaun Facebook miliknya di sini, hari ini.
Erdogan hari ini dilaporkan memenangi mandat baharu dalam pilihan raya presiden pada pusingan pertama pengundian dengan memenangi lebih daripada separuh undi.
Pihak berkuasa pilihan raya Turki berkata, Presiden Erdogan mendapat undi majoriti daripada semua kertas undi.
Agensi berita Anadolu melaporkan, Erdogan memenangi 52.5 peratus undi dalam pilihan raya presiden manakala pencabar utamanya, Muharrem Ince hanya meraih 31.7 peratus undi. – UTUSAN ONLINE











