TEMERLOH 27 Jun – Seorang pemandu treler dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu dengan melulu dan cuai sehingga menyebabkan kematian tiga individu termasuk dua beradik di Kilometer 149 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di sini kelmarin.
Tertuduh, A. Kumar, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd. Aziz.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu dengan melulu, cuai dan merbahayakan orang awam sehingga menyebabkan kematian kepada Khasrul Haizal Mohd. Yusof, 20, Khasrul Ikhwan Mohd. Yusof,18, dan Chua Jyh Shyong, 37, di laluan tersebut.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih sepuluh tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta tidak lebih RM20,000 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Marina Hashim manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Tan Yu Tang.
Marina mencadangkan wang jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, Nordiana membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta semua lesen memandunya digantung sehingga kes selesai. – UTUSAN ONLINE











