Keluarga OKU mohon sumbangan, selesai masalah tekanan air rendah - Utusan Malaysia

Keluarga OKU mohon sumbangan, selesai masalah tekanan air rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA SAMARAHAN 19 Jun – `Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga’. Demikian nasib malang menimpa seorang lelaki, Liew Thian Soong, 48, apabila dia disahkan lumpuh akibat serangan angin ahmar pada dua tahun lalu.

Sejak menjadi orang kurang upaya (OKU), Thian Soong tidak mampu lagi bekerja untuk menanggung ibu bapanya yang sudah tua, isteri dan tiga anak yang masih bersekolah.

Lebih menyedihkan, isterinya turut menghidap sakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis setiap minggu, manakala ibunya pula cacat penglihatan akibat kencing manis kronik.

Bagi menyara keluarga, bapanya, Liew Nyun Chuk, 76, dibantu tiga cucunya yang berusia 16 tahun bergantung kepada hasil jualan buah kepala yang dikeringkan sebagai sumber pendapatan.

Nasib malang keluarga terbabit mendapat perhatian Persatuan Kebajikan Harapan Kuching (Hope Place) yang mengunjungi kediaman mereka di Asajaya di sini, bagi menyampaikan sumbangan lampin dewasa dan bekalan makanan asas hari ini.

Menurut Pengasas Hope Place, Kelvin Wan, kesulitan yang dihadapi keluarga itu dimaklumkan kepada pihaknya oleh Nyun Chuk baru-baru ini.

Katanya, sebaik sahaja mengetahui tentang kesulitan dihadapi keluarga itu, pihaknya telah berkunjung ke kediaman mereka dan mendapati keluarga Nyuk Chuk memang benar-benar memerlukan bantuan.

“Anaknya, Thian Soong merupakan pemegang kad OKU memang ada mendapat bantuan RM350 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala Gereja Methodist tempatan di sini turut membantu memberikan bantuan makanan bulanan kepada keluarga ini pada setiap bulan.

“Namun, bantuan diterima masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga dan membiayai rawatan perubatan Tiong Soong bersama isteri dan ibu serta persekolahan anak-anaknya,” kata Kelvin ketika ditemui semasa kunjungan itu.

Kelvin berkata, pihaknya hanya mampu membantu keluarga itu dengan memberi sekali sumbangan selama enam bulan kerana peruntukan terhad disebabkan perlu membantu lebih 200 lagi keluarga miskin yang lain.

Justeru, beliau merayu sumbangan orang ramai untuk mengisi dana bagi disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, pihak yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Hope Place di talian 013-567 2775 atau 082-505987 mulai pukul 8.30 pagi hingga 12 tengah malam atau memasukkan wang sumbangan kepada akaun persatuan iaitu Maybank (5112-8900-1160).

Sementara itu, Nyun Chuk turut berharap agar pihak berkuasa berkaitan agar dapat menyelesaikan masalah tekanan air rendah di rumahnya yang dihadapi sejak Disember tahun lalu.

“Tekanan air di rumah kami amat rendah menyebabkan kami sukar mendapatkan bekalan air bagi kegunaan seharian,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN