LONDON – Kapten Nigeria, John Obi Mikel berang dengan keputusan pengadil dan sistem Bantuan Video Pengadil (VAR) selepas pasukannya dinafikan sepakan penalti ketika tewas 1-2 kepada Argentina dalam aksi terakhir Kumpulan D di Saint Petersburg, Rusia awal pagi tadi.
Skuad Super Eagles terikat 1-1 dengan Argentina dan hampir layak ke pusingan 16 terbaik sebelum pertahanan Argentina Marcos Rojo tertanduk bola mengenai tangannya dalam kota penalti.
Pemain Nigeria segera membantah dan memaksa pengadil dari Turki, Cuneyt Cakir meneliti rakaman VAR bagi mengesahkan perkara tersebut, namun sebaliknya keputusan itu tidak memihak kepada mereka.
“Saya tidak faham kenapa ia bukan satu sepakan penalti. Bagi saya jelas sekali bola terkena tangan.
“Kalau kamu lihat perlawanan Portugal semalam, bola tidak terkena sepenuhnya kepada tangan, tetapi apa yang kami hadapi ini lebih jelas. Dia menanduk bola dan ia jatuh terkena tangannya.
“Mungkin pengadil telah memberi satu penalti sebelum itu jadi dia enggan memberi kami yang kedua. tetapi penalti tetap penalti. Kalau ia kesalahan, penalti, kamu perlu beri sepakan penalti,” jelas Mikel.
Menerusi siaran langsung televisyen, kelihatan Cakir memberitahu bahawa bola tersebut cuba ditanduk keluar oleh Rojo, namun terkena tangannya dengan tidak sengaja.
Selepas insiden itu, Rojo kemudian menjadi wira Argentina apabila jaringan vokinya pada lewat permainan membantu pasukannya mara ke pusingan kedua.
“Ia satu kekecewaan yang besar. Kami telah memberi yang terbaik dan bermain dengan baik pada babak kedua.
“Namun kami terlepas peluang ini hanya dengan beberapa minit. Perlawanan seperti inilah yang akan membina karakter buat pasukan ini,” jelas jurulatih Nigeria, Gernot Rohr. – Agensi











