Kaki budak hancur digilis forklift - Utusan Malaysia

Kaki budak hancur digilis forklift

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 27 Jun – Seorang budak lelaki hancur kaki kiri selepas digilis sebuah forklift di sebuah kilang papan dekat Kawasan Perindustrian Gua Musang, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.55 pagi itu, mangsa, Mohd. Daniel Adha Mohd. Shafawe, 6, yang parah telah menerima rawatan awal di Hospital Gua Musang sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Krai.

Mangsa tinggal di kawasan itu bersama bapanya, Mohd. Shafawe Omar, 44, yang bekerja di kilang itu selepas berpisah dengan ibunya, Ruslida Kamarazaman, 38.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bermain di kawasan kejadian sebelum tiba-tiba digilis jentera yang sedang melakukan kerja di kawasan itu.

Ibu mangsa, Ruslida Kamarazaman, 38, berkata, mangsa merupakan anak keenam daripada tujuh beradik dan tinggal bersama bekas suaminya di kilang itu sejak setahun lalu.

Katanya, dia mendapat tahu kejadian menimpa anaknya itu pada pukul 11.30 pagi.

“Selepas dimaklumkan saya terus ke Hospital Gua Musang dan melihat kakinya yang sudah hancur.

“Saya terkejut dengan kejadian itu kerana pada Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini dia balik ke rumah saya di Kampung Batu Lima di sini.

“Ketika itu dia sungguh gembira kerana dapat berjumpa dengan adik-beradiknya yang lain,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan daripada ibu bapa mangsa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini