PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara tidak akan mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap sebarang petisyen pilihan raya yang difailkan oleh mana-mana pihak berhubung Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.
Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, Perlembagaan Persekutuan secara jelas telah memperuntukkan bahawa Pengerusi SPR mestilah mendapat kepercayaan awam, begitu juga dengan SPR sebagai sebuah badan yang melaksanakan pilihan raya di negara ini.
“Sebagai pemutus yang berkecuali dalam penjalanan pilihan raya, SPR tidak sepatutnya diwakili oleh pegawai jabatan ini kerana berkemungkinan timbulnya percanggahan kepentingan dan persepsi bahawa keadilan hendaklah dilihat untuk dilaksanakan.
“Oleh sebab itu, mulai hari ini, jabatan ini tidak akan mewakili mana-mana pihak dalam petisyen pilihan raya dan SPR hendaklah peguam pilihan mereka sendiri daripada Majlis Peguam untuk mewakili mereka dalam prosiding perundangan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Tommy menjelaskan, tugas utama Jabatan Peguam Negara adalah untuk bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada cabang eksekutif Kerajaan yang diketuai oleh Perdana Menteri dan untuk mewakili kerajaan dalam prosiding jenayah dan sivil di mahkamah.
Ujar beliau, SPR pula telah ditubuhkan semasa kemerdekaan negara sebagai sebuah agensi yang menjalankan pilihan raya secara telus dan adil serta dihasratkan untuk menjadi pihak berkecuali antara parti-parti politik yang bertanding antara satu sama lain bagi mendapatkan hak untuk mentadbir bagi tempoh maksimum lima tahun.
“Sistem perundangan Malaysia telah menubuhkan Mahkamah Pilihan Raya secara ‘ad hoc’ untuk mendengar dan memutuskan petisyen pilihan raya bagi apa-apa pertikaian yang timbul daripada penjalanan pilihan raya oleh SPR dan pegawainya.
“Disebabkan kerajaan kebiasaannya menjadi pihak kepada petisyen pilihan raya tersebut, sama ada dalam kalangan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri atau pihak yang telah tewas, adalah tidak elok bagi jabatan ini untuk juga mewakili SPR,” katanya.”- K! ONLINE










