KUALA LUMPUR 24 Jun – Industri pembinaan dan hartanah akan menerima tempias daripada pembatalan dan penangguhan projek mega antaranya Laluan Tiga MRT (MRT3) dan Kereta api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Foo Chek Lee tidak menafikan penangguhan projek-projek mega seperti HSR dan MRT3 akan memberi kesan kepada kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk industri pembinaan.
Katanya, prospek peningkatan order book dijangka berkurangan dengan pembatalan projek tersebut tetapi masih terlalu awal untuk menganggarkan kesan keseluruhan pemotongan projek tersebut terhadap industri pembinaan.
“Namun, saya yakin penangguhan projek ini adalah bersifat sementara dan akan disambung semula apabila ekonomi negara lebih stabil. Tindakan ini adalah wajar bagi memastikan kesemua projek mega tidak dijalankan secara serentak.
“Ini kerana jika dilaksanakan akan memberi tekanan secara langsung ke atas bekalan tempatan iaitu bahan binaan, alat jentera dan kakitangan tempatan (termasuk profesional dan pekerja). Disebabkan perkara ini, kos projek akan meningkat dan menyebabkan pengedar dan pemborong dari luar negara mula ambil kesempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Kerajaan sebelum ini, telah menangguhkan projek yang masih dalam perancangan daripada yang bernilai berbilion ringgit (HSR) sehinggalah kontrak kecil seperti kontrak bernilai RM180 juta bagi mengecat semula rumah awam di Kuala Lumpur.
Pembatalan projek MRT3 juga secara tidak langsung memberi kesan kepada pemaju terutama perancangan projek-projek yang terletak berdekatan dengan laluan tersebut dan menjadikan kawasan tersebut kurang popular tanpa stesen MRT.
Ini termasuk juga pembatalan projek HSR akan memberi impak negatif kepada pemaju yang sudah melabur ke atas kawasan yang terletak berdekatan Bandar Malaysia, Putrajaya, Melaka dan Iskandar Puteri.
Sebelum ini, UEM Sunrise yang merupakan pemaju Iskandar Puteri, Johor dilaporkan akan menghentikan seketika pembangunan berorientasikan pengangkutan (TOD) di Gerbang Nusajaya dan stesen HSR yang sudah dirancang.
UEM Sunrise merancang pembangunan TOD berkeluasan 121 hektar dengan 28 hektar bagi pembinaan stesen HSR Iskandar Puteri, yang pada mulanya dilihat dapat membuka potensi Gerbang Nusajaya melalui kerjasama dengan pemegang kepentingan strategik lain.
Sementara itu Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, pembeli lebih suka memilih rumah yang berdekatan dengan pengangkutan awam dan ia boleh dilihat pada projek pembangunan berorientasikan pengangkutan (TOD), D’sara Sentral yang merekodkan kadar pengambilan lebih daripada 80 peratus.
Katanya, infrastruktur yang lengkap akan meningkatkan permintaan perumahan terutama di kawasan luar bandar seperti Jepun, London atau Hong Kong yang mana orang ramai boleh memilih tinggal lebih jauh dari bandar untuk menikmati kehidupan dalam persekitaran yang lebih selesa tanpa perlu bimbang perjalanan jauh ke bandar.
“Projek kami, D’sara Sentral, Sungai Buloh mempunyai akses terus ke stesen MRT Kampung Selamat. Kami telah membina laluan pejalan kaki yang dilindungi untuk kemudahan penduduk. Stesen ini merupakan stesen kedua di Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang yang mula beroperasi Disember tahun lalu.
“Selain itu, kami juga mempunyai projek pembangunan bersebelahan transit (TAD) iaitu M Vertica, Cheras. Projek ini terletak hanya 600 meter daripada pertukaran stesen MRT dan LRT Maluri dan hanya 800 meter daripada stesen MRT Taman Pertama,” katanya.
Dalam pada itu, Penganalisis AmBank Research, Joshua Ng berkata, bagi projek semasa yang sedang berjalan, terdapat juga kemungkinan ia boleh dikurangkan dan kerajaan akan membuat rundingan semula dari segi terma kontrak dengan rakan kerjasama projek (PDP) dan kontraktor terbabit bagi meningkatkan penjimatan.










