KOTA BHARU – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun menjadi mangsa kedua letupan mercun apabila hancur empat jari kiri akibat bermain mercun bola dalam kejadian di Kampung Paya Bemban, di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, mangsa, Mohammad Zulhakimi Mohd. Hussain bermain mercun di rumah rakannya yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya.
Menurut ibu mangsa, Rosmazili Nek Ismail, 36, anak sulung daripada empat beradik itu meminta izin daripadanya untuk keluar dan berjanji akan pulang ke rumah pada pukul 8.30 malam.
“Kami sekeluarga bercadang untuk membeli baju raya pada malam tersebut dan tidak menyangka kejadian ini akan menimpanya. Ketika itu, saya baru selesai makan dan ingin mengemas. Jiran datang maklumkan tentang kejadian malang ini.
“Saya tidak sempat melihat kecederaan yang dialami anak kerana jiran terus membawanya ke Jabatan Kecemasan hospital berikutan kecederaannya itu amat teruk,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini hari ini.
Rosmazili memberitahu akibat kejadian tersebut empat jari kiri anaknya hancur kecuali jari kelinking.
Ujarnya, dia bersyukur kerana kedua-dua mata anaknya tidak cedera walaupun serpihan mercun tersebut turut terpercik ke bahagian mata.
Ini merupakan kejadian kedua melibatkan mangsa letupan mercun dengan kes pertama dilaporkan menimpa seorang remaja lelaki, Eiman Najwan Anwar Fuad, 14, pada 29 Mei lalu.
Mangsa itu buta mata kanan, hancur tangan kiri dan jari telunjuk kanan selepas belerang mercun bola yang diisinya di dalam botol kaca meletup dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam di Kampung Panji di sini. – K! ONLINE










