MONTREAL – Lewis Hamilton bimbang penangguhan menaik taraf enjin baharu jentera Mercedes menyebabkan dia berdepan tugas berat menjelang perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Kanada awal pagi Isnin ini.
Hamilton yakin, pasukan Ferrari dan Red Bull mempunyai kelebihan untuk muncul juara selepas Mercedes mengesahkan mereka tidak akan menaik taraf enjin bagi menghadapi perlumbaan kali ini.
Juara dunia empat kali itu berkata, keadaan enjin jentera ketika ini menyebabkannya sukar memecut dengan lebih laju memandangkan Litar Gilles Villeneuve sangat mencabar.
Ketika ini, pasukan Red Bull dan Ferrari telah menaik taraf enjin baharu untuk perlumbaan di Montreal sekali gus bakal memberi cabaran hebat kepada Mercedes.
“Saya akui Litar Gilles Villeneuve sangat mencabar dan ketiadaan enjin baharu akan memberi kesan kepada kami untuk beraksi dengan lebih baik. Ketika ini, keupayaan enjin menjadi penentu dan sekiranya kita berjaya mendapatkan enjin baharu saya yakin pasti akan membantu.
“Pasukan sudah bekerja keras untuk mendapatkan enjin baharu tetapi terpaksa akur kerana terdapat beberapa masalah terutama pada sistem dyno. Tugas kami pasti akan sukar kerana Ferrari telah menaik taraf enjin baharu. Mereka sangat laju terutama di laluan lurus,” katanya.
Ketika ini, Hamilton kekal sebagai pendahulu dengan kelebihan 14 mata dengan seteru utamanya Ferrari, Sebastian Vettel. – Agensi











