Guru rugi lebih RM100,000 dalam tempoh sebulan - Utusan Malaysia

Guru rugi lebih RM100,000 dalam tempoh sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Seorang guru wanita kerugian lebih RM100,000 dalam tempoh sebulan lebih selepas diperdaya oleh sebuah koperasi pinjaman peribadi yang tidak wujud bulan lepas. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa yang berusia 43 tahun itu mendakwa telah melakukan transaksi wang bermula 3 Mei hingga 9 Jun yang dikatakan sebagai caj proses mendapatkan pinjaman. 

Katanya, mangsa yang berasal dari Pekan itu dikatakan berhasrat mendapatkan pinjaman sebanyak RM20,000 yang ditawarkan koperasi berkenaan dengan bayaran balik RM433.33 selama lima tahun. 

“Mangsa mengetahui mengenai koperasi itu selepas membaca iklan mengenainya di Facebook pada pertengahan April lalu dan meninggalkan nombor telefonnya di ruangan komen. 

“Suspek menghubungi mangsa pada 30 April untuk menawarkan pinjaman dan mangsa bersetuju untuk memasukkan RM540 sebagai bayaran proses.

“Jumlah caj proses itu akhirnya meningkat kepada RM108,380 yang dimasukkan ke dalam pelbagai akaun bank sehingga beliau berasa curiga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Mohd. Wazir menambah, mangsa yang berasa ditipu kemudiannya menghubungi Telelink Bank Negara Malaysia (BNM) yang kemudiannya menasihatkannya membuat laporan polis. 

Beliau menambah, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN