GST: 15,210 barangan diperiksa di Pahang - Utusan Malaysia

GST: 15,210 barangan diperiksa di Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 1 Jun – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri memeriksa sebanyak 507 premis dan 15,210 jenis barangan selaras dengan pindaan perintah cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang diwartakan kerajaan pada 16 Mei lalu.

Pengarahnya, Datuk Mark Ujin berkata, pemeriksaan itu dilakukan sejak 24 Mei lepas bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) melibatkan pelbagai premis seperti yang menjual barangan elektrik, kedai pakaian dan kasut.

Katanya, sebahagian besar pemilik premis sudah mula meletakkan perubahan harga dengan menyelaraskan kadar GST daripada enam peratus kepada sifar peratus.

“Operasi bersama ini adalah untuk mengelakkan sebarang manipulasi harga impak daripada pelaksanaan perubahan cukai oleh mana-mana peniaga.

“Proses peralihan ini mungkin mengambil masa kerana peniaga terpaksa membuat harga baharu selain membabitkan barangan stok lama. Sebab itu pemantauan pemeriksaan harga sehingga 30 Jun ini,” katanya ketika ditemui dalam Op Catut 4.0 Tanpa GST di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Menurut Mark, amaran akan dikeluarkan kepada peniaga yang tidak menurunkan harga dan tindakan sewajarnya bakal diambil sekiranya barangan stok baharu dijual pada harga lama.

Baru-baru ini, Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan bahawa GST terhadap barang dan perkhidmatan sama ada buatan Malaysia atau yang diimport dikenakan kadar sifar peratus berbanding enam peratus, berkuat kuasa hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN