Gol Kroos bantu Jerman hidupkan peluang - Utusan Malaysia

Gol Kroos bantu Jerman hidupkan peluang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOCHI – Pemain tengah Jerman, Toni Kroos menebus kesilapan dengan meledak gol kemenangan dramatik pada saat-saat akhir perlawanan untuk menewaskan Sweden 2-1 pada aksi Kumpulan F di Stadium Fisht awal pagi semalam.

Skuad kendalian Joachim Low itu ketinggalan 0-1 pada minit ke-32 menerusi jaringan Ola Toivonen selepas hantaran yang cuba dilakukan Kroos tidak menjadi. Peluang tersebut digunakan sebaik­nya oleh Sweden yang melakukan serangan balas pantas.

Bermula separuh masa kedua, Jerman menggandakan asakan ke kubu pertahanan Sweden dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Marco Reus sebelum Kroos menjaringkan gol kemenangan hasil sepakan percuma menarik.

“Saya tahu ramai orang akan gembira sekiranya Jerman tersingkir daripada saingan kali ini tetapi kami tidak mudah mengaku kalah. Jerman bukanlah pasukan yang boleh disingkirkan dengan mudah,” kata Kroos.

Pemain tengah Real Madrid itu juga dianggap sebagai individu paling penting dalam membantu kemenangan Jerman pada perlawanan tersebut apabila menyempurnakan 117 daripada 128 hantaran yang dilakukan.

Kroos juga mengakui bertanggungjawab atas kesilapan yang dilakukan sehingga membolehkan Sweden membolosi gawang skuad Die Mannschaft itu, sekali gus memberi tekanan kepada rakan-rakan sepasukan.

“Gol pertama yang dijaringkan oleh Sweden adalah berpunca daripada kesilapan saya, jadi saya bertanggungjawab atas gol ber­kenaan. Bagaimanapun, saya berjaya menebus kesilapan itu pada penghujung perlawanan,” ujarnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN