Gesa tambah platform online halal - Utusan Malaysia

Gesa tambah platform online halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pemain industri diseru untuk membangunkan lebih banyak ruang pasaran eDagang khusus untuk produk halal di negara ini dalam usaha mengetengahkan produk halal tempatan di pasaran luar.

Pengurus Besar Shariah dan Pematuhan Halal QSR Brands (M) Holdings Bhd. (QSR Brands), Mohd. Roslan Mohd. Saludin berkata, pada masa ini terdapat banyak produk halal berpotensi yang dihasilkan syarikat tempatan ter­utamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Bagaimanapun, kami mendapati tiada platform online atau ruang pasaran khusus yang memasarkan produk tersebut dengan berkesan meskipun adanya pelbagai platform eDagang tempatan dan luar di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi kami, keadaan ini merupakan suatu perkara yang merugikan kerana selain mempunyai pelbagai produk halal berkualiti, ia turut mendapat sokongan dan galakan daripada pelbagai agensi tempatan.

“Justeru, kami menyeru mana-mana pemain pasaran untuk membangunkan platform khusus bagi memasarkan produk halal tempatan ke pasaran luar, sekali gus menjadikannya setaraf dengan laman-laman eDagang lain seperti Alibaba dan Lazada,” katanya dalam satu temu bual di sini baru-baru ini.

Sementara itu, ditanya mengenai antara cabaran yang sering dihadapi PKS dalam mendapatkan status halal bagi produk mereka, Mohd. Roslan berkata, kekangan yang wujud adalah dari segi mengekalkan status halal produk secara berterusan.

“Misalnya, setelah suatu produk itu berjaya mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), syarikat itu perlu mengekalkan pengiktirafan yang turut merangkumi pelbagai aspek seperti pengendaliannya, logistik, keselamatan, penyimpanan dan sistem pembuangan sisa.

“Kesemua perkara itu memerlukan peruntukan pelaburan yang agak signifikan dan bagi kebanyakan PKS, ia menjadi suatu kekangan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Mohd. Roslan berkata, PKS disaran untuk memberi fokus kepada aspek perkhidmatan, kualiti, tahap mampu milik dan halal bagi memastikan produk mereka dapat bersaing dengan syarikat-syarikat besar yang lain.

Ini, tambahnya, membolehkan ia menembusi pasaran eksport.

“Mereka juga perlu memanfaatkan penggunaan teknologi bagi memastikan produk yang dihasilkan mampu memenuhi stan­dard halal dan kualiti global yang diperlukan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini