LONDON – Pengarah perlumbaan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Charlie Whiting mempertahankan keputusan pengurus perlumbaan yang mengenakan penalti lima saat terhadap Sebastian Vettel pada Grand Prix (GP) Perancis di Litar Paul Ricard kelmarin.
Terdahulu, pelumba Mercedes, Lewis Hamilton dan pengerusi bukan eksekutif Mercedes, Niki Lauda mengkritik keputusan itu dan merasakan bahawa hukuman tersebut terlalu ringan memandangkan Vettel benar-benar menjejaskan perlumbaan Valtteri Bottas, bahkan dia menamatkan saingan di depan pelumba Finland berkenaan.
Bagaimanapun, Whiting menegaskan bahawa kesan daripada pelanggaran tersebut tidak diambil kira dan penalti lima saat itu merupakan hukuman mandatori seperti yang dikenakan kepada insiden serupa pada perlumbaan lain sebelum ini.
“Pengurus perlumbaan memiliki empat pilihan iaitu penalti lima saat, 10 saat dan pandu lalu di hentian pit. Namun, mereka memilih lima saat memandangkan ia hukuman sama dengan insiden serupa sebelum ini.
“Jika kita lihat kesan daripada insiden tersebut, mungkin seseorang itu akan berpendapat sebaliknya. Bagaimanapun, pengurus perlumbaan bersetuju untuk tidak melakukan perkara tersebut,” kata Whiting.
Vettel juga dikenakan dua mata penalti ke atas lesen perlumbaannya, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan lima mata dalam tempoh 12 bulan.
Selepas GP Perancis, Hamilton yang memenangi saingan tersebut telah berjaya memintas pendahulu carta kedudukan juara dunia Formula Satu (F1), Vettel yang menamatkan saingan di tempat kelima dengan kelebihan 14 mata. – Agensi











