Pasukan Felda United enggan terjerat dengan aksi Johor Darul Takzim II (JDT II) yang akan berkunjung ke Stadium Tun Abdul Razak, Jengka menjelang perlawanan Liga Premier malam ini.
Pengendali Felda United, B. Sathianathan berkata, anak-anak buahnya perlu berhati-hati dengan ancaman JDT II biarpun bermain di laman sendiri.
“Kita pernah menewaskan JDT II dengan jaringan 4-1 pada perlawanan pusingan pertama, 26 Februari lalu, namun rekod ini sudah bukan lagi ukuran bagi kami.
“JDT II sudah mempamerkan kebangkitan pada aksi pusingan kedua, malah mereka menang tiga perlawanan berturut-turut sebelum ini dan peningkatan itu menyebabkan kami perlu lebih berhati-hati,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurut Sathianathan, semua pemain perlu fokus dengan misi untuk mendapatkan tiga mata sekiranya ingin muncul juara liga dengan lebih awal.
“Kita tidak mahu dibuai mimpi sehingga tersungkur di laman sendiri buat kali kedua dalam saingan liga kerana kemenangan malam esok (malam ini) sangat penting bagi kami untuk terus menjarakkan mata meninggalkan Felcra FC,” ujarnya.
Sathianathan memberitahu, semua pemain utama berada dalam prestasi terbaik kecuali Mohd. Hadin Azman yang mengalami sedikit kecederaan.
“Kita berehat panjang kali ini kerana perlawanan dengan Kuantan FA pada 18 Jun lalu dibatalkan selepas pasukan itu menarik diri dan saya harap semua pemain dapat mempamerkan aksi yang mantap untuk menyingkirkan JDT II,” jelasnya.
Felda United kini gah di persada liga dengan 36 mata meninggalkan Felcra FC dan PDRM FC yang berkongsi 25 mata di tempat kedua dan ketiga.











