KUALA LUMPUR 11 Jun – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menempatkan sebanyak 11,200 anggotanya di 18 kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas di beberapa lebuh raya semasa Op Raya 2018 bermula 8 hingga 22 Jun ini.
Daripada jumlah itu seramai 10 anggota bomba dikenali sebagai Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) akan ditempatkan di lokasi terbabit bagi menjalankan tugas-tugas menyelamat sekiranya berlaku kemalangan semasa sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti manakala selebihnya pula akan bertugas di 290 balai di seluruh negara.
Ketua Pengarahnya, Mohamad Hamdan Wahid berkata di sini hari ini, tiga lebuh raya yang menjadi pilihan pengguna sepanjang musim perayaan ini akan diberi tumpuan iaitu Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan Lebuh Pantai Timur II (LPT II).
Menurut beliau, pasukan ERT akan ditempatkan di Kilometer (KM) 81.3 di Gurun, Kedah dan KM146 di Plaza Tol Juru, Pulau Pinang, manakala di Perak membabitkan KM205 Taiping, KM242 Kuala Kangsar, KM326 Tapah serta KM372 Plaza Tol Slim River.
Tambah beliau, Lokasi lain ialah KM444 di Rawang, Selangor; KM262 di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Nilai Lay By serta KM225 di Plaza Tol Senawang, Negeri Sembilan.
Beliau berkata, KM170 Plaza Tol Tangkak dan KM100 Plaza Tol Yong Peng di Johor, KM40 Genting Sempah, KM125.6 Plaza Tol Temerloh dan R&R Gambang di Pahang serta Pusat Skuad Penyelamat Integrasi di Air Keroh, Melaka.
“Penempatan anggota bomba di situ penting bagi mengawasi lokasi panas kerana risiko kemalangan berlaku semasa musim perayaan adalah tinggi berikutan orang ramai pulang ke kampung.
“Seramai lima anggota bomba akan ditempatkan di setiap lokasi dan mereka akan bertugas secara bergilir,” katanya selepas Majlis Perasmian Kempen Pencegahan Kebakaran dan Keselamatan JBPM sempena Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Hamdan memberitahu, selain kerja-kerja menyelamat, anggota dan pegawai terlibat juga akan melakukan pemeriksaan serta penguatkuasaan di premis tumpuan orang ramai supaya selamat serta bebas daripada ancaman bahaya kebakaran.
“Sebagai contoh, di ibu negara, kita mewujudkan pos bomba di kawasan Masjid India, Pasar Seni dan Sentral Market bagi bertindak cepat di lokasi kejadian sekiranya berlaku sebarang kecemasan,” ujarnya.
Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Putrajaya, Md. Hilman Abd. Rahman mengingatkan orang ramai tanpa mengira kaum supaya sentiasa berwaspada ketika mengunjungi lokasi tarikan pelancongan seperti kawasan pantai, sungai dan air terjun semasa cuti perayaan.
Katanya, ini bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini yang kerap berlaku di kawasan percutian tersebut.











