KUALA LUMPUR 8 Jun – Skuad Harimau Malaya bakal mengadakan enam perlawanan persahabatan kelas A dalam usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memperbaiki kedudukan ran-king Persekutuan Bola Sepak Antabarangsa (FIFA).
Bagaimanapun Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, daripada enam perlawanan tersebut hanya lima pasukan sahaja yang sudah disahkan.
“Sebagai persiapan untuk skuad kendalian Tan Cheng Hoe menghadapi Piala AFF pada November ini Harimau Malaya akan menentang Fiji di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada 5 Julai ini.
“Pasukan kebangsaan kemudiannya menentang Taiwan di Taipei pada 7 September seterusnya Kemboja di Phnom Penh tiga hari kemudian. Malaysia menentang Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober sebelum menghadapi Republik Kyrgy di Stadium Nasional Bukit Jalil empat hari kemudian.
“Satu lagi perlawanan turut dirancang pada 3 November ini di Kuala Lumpur namun pasukan lawan masih belum disahkan iaitu sebagai ujian terakhir sebelum pasukan negara terbang ke Phnom Penh bagi aksi sulung Kumpulan A Piala AFF 2018 menentang Kemboja pada 8 November ini,” katanya yang dipetik daripada Facebook rasmi FAM.
Berdasarkan kedudukan ran-king semasa lima pasukan yang sah menentang Malaysia, empat daripadanya memiliki kedudukan yang lebih baik di mana Republik Kyrgy berada di tangga ke-92 dunia, Taiwan (123), Fiji (165) dan Kemboja (166).
Malaysia menghuni tangga ke-171 dan hanya ada satu pasukan sahaja berada di bawah Harimau Malaya iaitu Sri Lanka (200).
Dua aksi persahabatan Malaysia menyaksikan skuad Harimau Malaya itu terikat seri 2-2 menentang Mongolia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 Mac lalu sebelum membelasah Bhutan 7-0 di venue yang sama pada 1 April lalu.











