KOTA KINABALU – Seorang pensyarah wanita dari universiti awam tempatan di sini mengalami kerugian sebanyak RM260,000 selepas terpedaya dalam sindiket Macau Scam pada bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, hasil siasatan mendapati mangsa berusia 48 tahun telah menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada nombor 68886 yang mengatakan kad kredit miliknya telah digunakan di Lapangan Terbang Senai, Johor Bahru pada 21 Mei lalu.
Walhal, mangsa tidak berada dan melakukan sebarang transaksi di lapangan terbang terbabit.
“Mangsa kemudiannya menghubungi talian 1-800-81-7399 yang tertera dalam SMS itu sebelum dijawab individu (suspek) yang menyamar sebagai pegawai bank dan memaklumkan akaun bank miliknya akan disekat.
“Panik dengan situasi tersebut wanita itu menuruti arahan ‘pegawai bank’ supaya menghubungi pegawai penyiasat kononnya wakil dari Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya hari ini.
Tambah M. Chandra, selepas itu suspek telah mengarahkan mangsa ke sebuah bank di Alam Mesra dekat sini untuk proses membekukan akaun bank.
“Bagaimanapun, suspek telah meminta mangsa memindahkan wang ke dalam empat akaun berbeza sebelum proses pembekuan akaun dilakukan.
“Mangsa yang akur, segera membuat transaksi sebanyak RM260,000 ke dalam akaun-akaun berkenaan secara berperingkat sebelum menyedari dirinya ditipu kerana gagal menghubungi suspek,” jelasnya lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE










