TEMERLOH 21 Jun – Pengarah Perubatan Malaysia Relief Agency (MRA), Dr. Zafri Ismadi Mohd. Anis (gambar) yang dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh setelah terlibat dalam kemalangan pada 14 Jun lalu kini berada dalam keadaan stabil.
![]() |
|
|
Pengarah Hoshas, Datuk Dr. Bahari Awang Ngah berkata, pada masa ini, Zafri Ismadi masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Zafri Ismadi berada dalam keadaan stabil dan pada masa ini kita masih meneruskan rawatan termasuklah penggunaan ubat bius,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Bahari, pada masa ini, pihaknya masih terus melakukan pemantauan terhadap Zafri Ismadi yang mendapat rawatan susulan.
“Kita akan memastikan Zafri Ismadi mendapat rawatan terbaik. Isterinya kini menemani pesakit,” katanya.
Minggu lalu, Zafri Ismadi yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bangi selepas bertugas di Hoshas, terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berhampiran Bentong.
Dalam kejadian tersebut, kenderaan dipandunya terbabas ketika cuba mengelak daripada dihimpit sebuah lori dari arah belakang.
Susulan kejadian, Zafri Ismadi mengalami patah tulang kaki kanan dan paha kiri, selain mengalami kecederaan limpa dan paru-paru.











