KUALA LUMPUR 8 Jun – Axiata Group Bhd. (Axiata) mengumumkan pelantikan Dr. Lisa Lim Poh Lin sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif baharu berkuatkuasa hari ini.
Pengerusi Axiata, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, Poh Lin memiliki kelulusan Kepujian Kelas Pertama (BA and MEng) dalam Kejuruteeraan dan Ijazah Kedoktoran (Ph.D) dalam bidang kejuruteraan dari Universiti Cambridge.
Beliau juga merupakan penerima Biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia dan Biasiswa Cambridge Commonwealth Trust dan memiliki 18 tahun pengalaman dalam perundingan pengurusan, penyelidikan akademik dan pengurusan pelaburan.
“Kami berbesar hati menerima kehadiran Poh Lin dalam Lembaga Pengarah Axiata dan Kumpulan sentiasa berusaha membina komposisi Lembaga Pengarah yang memiliki kepelbagaian latar belakang, kepakaran perniagaan yang relevan serta pengalaman global.
“Poh Lin memiliki sarjana dan berpengalaman dengan pengalaman korporat global berprofil tinggi, pengalaman Lisa dalam dunia perniagaan, teknologi dan kewangan yang berdaya saing akan memberikan sumbangan besar kepada Lembaga Pengarah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, pengalaman yang dimiliki Poh Lin akan menambah lagi kepelbagaian dan dimensi Lembaga Pengarah Axiata.










