EKATERINBURG – Jurulatih Perancis, Didier Deschamps teruja dan berpuas hati dengan penampilan pemainnya selepas berjaya beraksi dengan baik bagi mengelak daripada tersingkir pada peringkat kumpulan di kempen Piala Dunia Rusia 2018.
Kejayaan menundukkan Peru 1-0 kelmarin melegakan skuad Les Bleus serta memberikan mereka tiket untuk mara ke kelompok 16 pasukan terbaik selepas berjaya mengumpul enam mata setelah melalui dua perlawanan dalam kumpulan C.
“Kami akan beraksi dalam pusingan seterusnya dan saya berpuas hati setelah apa yang ditunjukkan semua pemain dalam dua perlawanan ini,” kata Deschamps.
Deschamps enggan menghiraukan segala kritikan terutamanya untuk aksi hambar Perancis pada separuh masa kedua kerana apa yang penting baginya adalah kemenangan.
“Kami telah menang dan layak beraksi di pusingan kedua. Pemain menunjukkan persembahan yang terbaik terutamanya pada separuh masa pertama apabila berjaya menyumbat gol.
“Saya merasakan semua telah bermain dengan baik seperti mana yang diperlukan oleh sesebuah pasukan kerana berjaya mencatatkan dua kemenangan setakat ini.
“Pada babak kedua, kami menghadapi sedikit kesukaran selepas gagal mendominasi permainan dengan baik dan memberi fokus di bahagian pertahanan,” ujarnya.
Sementara itu, Deschamps turut teruja akan aksi Kylian Mbappe yang berjaya menyumbat gol tunggal dalam perlawanan tersebut sekali gus menjadikannya pemain muda pertama berusia 19 tahun menjaringkan gol buat skuad kebangsaan Perancis. – Agensi










