KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dakwaan bahawa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sarawak telah meninggalkan BN adalah di luar pengetahuannya.
Malah, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau juga tidak bertemu Presiden PBB yang juga Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan merayu agar parti kedua terbesar dalam BN itu tidak meninggalkan BN seperti yang dilaporkan sebuah portal berita hari ini.
“Laporan mengenai PBB Sarawak yang diberitakan telah meninggalkan BN adalah di luar pengetahuan saya,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya.
Portal berkenaan dalam sebuah artikel hari ini mendakwa bahawa Abang Johari telah memaklumkan keputusan untuk keluar BN dan menyokong kerajaan Pakatan Harapan dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya 31 Mei lalu.
Beliau kemudiannya turut dilapor berjumpa Ahmad Zahid di Kuala Lumpur, di mana Pengerusi BN itu didakwa telah meminta Abang Johari untuk tidak meneruskan langkah untuk keluar daripada BN kerana gabungan itu akan hancur sekiranya ia terjadi. – Bernama











