Daging rusa segar Ladang 16 - Utusan Malaysia

Daging rusa segar Ladang 16

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUNJUNGAN kru Panorama ke Ladang 16, Taman Pertanian Universiti (TPU), Universiti Putra Malaysia yang terletak di Serdang, Selangor pagi itu disambut oleh 11 ekor rusa jinak daripada 120 ekor yang mendiami ladang tersebut.

Cuaca yang baik pada hari itu pula menyaksikan kesemua rusa tersebut berlari-lari riang lebih-lebih lagi selepas terlihat kelibat pegawai veterinar yang datang ke ladang tersebut bersama satu bekas besar berisi palet makanan buat haiwan itu.

Rusa-rusa tersebut mula mengerumuni Zulfakarudin Zamri, 36, seolah-olah tidak sabar untuk diberi makanan. Zulfakarudin mula meletakkan palet makanan tersebut di atas tapak tangannya untuk dimakan oleh rusa-rusa yang ada di situ.

Memandangkan terdapat beberapa ekor rusa di situ yang memiliki tanduk, kru Panorama sedikit gusar untuk mendekatinya kerana bimbang ditanduk haiwan itu. Begitu pun, Zulfakarudin kemudian memberitahu bahawa rusa di situ jinak dan tidak akan menyerang pengunjung yang datang.

“Tidak mengapa, rusa tidak bersifat agresif dan tidak akan menyerang manusia,” ujarnya.

Rumput napier

Selain palet makanan, Zulfakarudin yang merupakan pembantu veterinar turut menyuapkan rusa-rusa tersebut dengan sejenis rumput yang dipanggil rumput napier atau nama saintifiknya Pennisetum purpureum.

“Selain palet makanan yang dihasilkan daripada makanan seperti biji kelapa sawit, rusa-rusa di sini diberi makan rumput napier yang juga turut dipanggil rumput gajah.

“Selain rumput gajah, terdapat satu lagi rumput yang diragut rusa-rusa ini iaitu rumput guinea yang dipelihara kesegarannya setiap hari bagi menjamin kualiti rasa daging rusa.

“Selain itu, rusa itu juga akan makan rumput-rumput lain yang ada di sini kerana haiwan ini tidak cerewet,” ujar Zulfakarudin.

Dia yang sudah bertugas sebagai pembantu veterinar di TPU sejak taman itu mula-mula dibuka kira-kira 13 tahun lalu memberitahu, rusa-rusa di situ mendapat permintaan yang tinggi terutamanya dalam kalangan penggemar masakan daging rusa.

Dalam pada itu, Timbalan Dekan (Siswazah, Penyelidikan dan Antarabangsa) Tanaman Hortikultur Tropika Fakulti Pertanian UPM, Prof Dr. Yahya Awang berkata, harga seekor rusa yang mempunyai berat kira-kira 70 kilogram ialah antara RM1,500 sehingga RM2,000.

“Bagi daging rusa pula, (dijual sekali bersama tulang) dijual pada harga RM40 sekilogram dan ia dijual sepanjang tahun.

“Orang ramai yang ingin membeli rusa atau dagingnya perlu membuat tempahan terlebih dulu kerana stok rusa di sini agak terhad,” ujarnya.

Tambah Yahya, antara hidangan daging rusa yang popular termasuklah daging rusa masak kari, daging rusa masak lemak cili api dan daging rusa masak lada hitam.

Daging rusa sememangnya memiliki rasa dan keenakannya yang tersendiri. Selain lebih sedap berbanding daging lembu atau kambing, daging rusa juga tinggi protein dan rendah kolesterol menjadikan ia satu hidangan yang berkhasiat.

Daging rusa UPM istimewa kerana tahap kesihatan ternakan itu sentiasa dipantau melalui program-program kesihatan gerompok seperti vaksin dan nyahcacing yang terancang.

Rasa enak

Bercerita tentang penubuhan TPU yang menjadi habitat ternakan rusa di UPM, Yahya berkata, TPU bukan sekadar tempat pembelajaran dan penyelidikan untuk ternakan rusa, malah turut melibatkan haiwan-haiwan lain seperti kambing dan lembu.

“Di sini, terdapat beberapa kursus yang ditawarkan oleh dua fakulti di UPM iaitu Fakulti Pertanian dan Fakulti Perubatan Veterinar,” ujarnya.

Pada peringkat awal, pelajar-pelajar akan didedahkan dengan cara pengurusan ladang seperti kaedah pembiakan, pengurusan makanan, vaksin haiwan dan sistem pemeliharaan yang menepati piawaian Malaysian Good Agriculture Practice (MyGAP).

MyGAP diilhamkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan ia merupakan program akreditasi kepada ladang-ladang yang dikategorikan sebagai memenuhi kriteria yang ditetapkan Jabatan Pertanian.

Ladang UPM merupakan antara yang terawal menerima akreditasi MyGAP di negara ini bagi ternakan rusa. Menurut Ketua Unit Ruminan Kecil TPU, UPM yang juga merupakan pegawai veterinar, Dr. Muhammad Azrolharith Rashid, 28, ladang rusa seluas 10 hektar di TPU menempatkan sebanyak 120 ekor rusa liar daripada tiga jenis baka berbeza.

“Tiga baka yang terdapat di sini ialah Timorensis, Sambar dan Dama Dama. Baka Sambar adalah baka tempatan manakala baka Dama Dama pula berasal dari Eropah.

“Baka Timorensis pula berasal dari kepulauan Jawa dan Timor Leste. iaitu baka tempatan selain baka Sambar dan Dama Dama yang merupakan baka dari Eropah. Spesies itu tidak berbintik dan memiliki bulu kasar berwarna perang dan ia hidup dalam habitat kering,” ujarnya.

Sifat sensitif

Azrolharith memberitahu, proses menjinakkan rusa juga tidak sukar memandangkan haiwan tersebut bukan sejenis ruminan yang agresif.

Tidak ramai yang tahu tentang sifat rusa yang pemalu dan sensitif serta adakalanya gementar apabila melihat musuhnya.

Untuk menjinakkan rusa, sebaik sahaja anak haiwan itu lahir, ia akan diasingkan daripada ibunya dan pihak pengurusan TPU akan mengambil alih tugas menyusukan anak rusa tersebut.

Sebaik sahaja ia terbiasa dengan bau manusia, rusa sendiri akan datang mendekati manusia dan menjadi jinak.

“Ketika ini, pihak TPU mempunyai 11 ekor rusa jinak yang juga dijadikan produk edu-pelancongan kepada pengunjung.

“Ladang rusa ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk datang melawat melalui pakej Edupark yang ditawarkan oleh pihak UPM pada harga yang amat berpatutan.

“Pengunjung berpeluang untuk bermain-main dengan rusa-rusa yang ada di sini,” ujarnya.

Rusa juga jarang diserang penyakit-penyakit kronik dan ia mudah untuk diternak.

Selain dijadikan produk edupelancongan, rusa-rusa yang diternak di UPM juga turut dijual kepada penggemar hidangan daging rusa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN