Cacing bawa penyakit ditemui dalam tin sardin dari China - Utusan Malaysia

Cacing bawa penyakit ditemui dalam tin sardin dari China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menemui cacing yang boleh menyebabkan penyakit anisakiasis kepada manusia dalam sampel tin sardin  dari  China yang dibawa masuk menerusi North Butterworth Container Terminal (NBCT) Pulau Pinang pada 14 Mei lalu.

Ketua Pengarah MAQIS, Datuk Mokhtarud-din Husain berkata, cacing terbabit ditemui menerusi pemeriksaan fizikal dan persampelan ke atas beberapa tin sardin yang tiba dalam dua kontena yang ditahan di NBCT  dengan anggaran berat  36,720 kilogram bernilai RM199,797.24.

Cacing terbabit berkemungkinan  daripada genus Anisakis spp yang menyebabkan penyakit  anisakiasis  kepada manusia yang biasanya berlaku apabila manusia memakan makanan laut seperti ikan mentah atau tidak dimasak sepenuhnya yang dijangkiti parasit terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anisakiasis adalah penyakit  parasit dan zoonotik bawaan ikan yang disebabkan  oleh nematode Anisakis spp(cacing) yang menyerang sistem gastrointestinalseperti  perut dan usus manusia dan boleh menyebabkan masalah atau simptom gastrointestinal seperti sakit perut, cirit-birit, loya dan muntah.

Mokhtarud-din berkata perbuatan  mengimport melalui pintu masuk apa-apa  tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma dengan perosak, penyakit atau bahan cemar adalah merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Kes ini disiasat untuk  tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata pengimportan ikan sardin perlu mendapatkan permit import daripada MAQIS.

“Walaupun permit import diberikan, pengimport perlulah mematuhi bahawa ikan sardin yang diimport mestilah bersih dan selamat dimakan oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Mokhtarud-din berkata MAQIS akan terus menjalankan pemeriksaan ke atas produk ikan sardin dan mackerel (sejenis ikan kembung) dalam tin yang diimport di seluruh pintu masuk negara bagi memastikan isu sedemikian tidak berulang.

“Perkara ini amat penting bagi memastikan sebarang produk ikan seperti ikan sardin yang diimport ke negara kita mestilah sentiasa selamat, bersih dan tidak cemar dengan bendasing seperti cacing,” katanya.

MAQIS  merupakan jabatan yang bertanggungjawab untuk mengawal aktiviti import, eksport, pemeriksaan,  kuarantin dan penguatkuasaan bagi pengimportan apa-apa tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma di semua pintu masuk negara yang diwartakan.

Sebanyak 57 buah pintu masuk yang terdiri daripada pintu masuk udara, laut dan darat telah diwartakan dan dikawal oleh  pihak MAQIS. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini