Cabaran Turki baharu - Utusan Malaysia

Cabaran Turki baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL 26 Jun – Selepas kejayaan Recep Tayyip Erdogan mengekalkan kedudukannya dalam pilihan raya kelmarin, tumpuan kini ter­arah kepada sistem Presiden Eksekutif baharu yang bakal dilancarkan oleh kerajaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut keputusan tidak rasmi yang diumumkan oleh media rasmi negara, Erdogan memenangi 52.5 peratus undian, sekali gus dilantik sebagai Presiden Eksekutif pertama negara dengan peningkatan kuasa yang ketara.

Portal berita Al-Jazeera melaporkan, cabang-cabang kerajaan Turki kini akan mula melaksanakan siri pindaan perlembagaan yang diluluskan dalam satu pungutan suara tahun lepas.

Di bawah sistem baharu, Erdogan berkuasa melantik naib presiden, menteri, pegawai peringkat tinggi dan hakim kanan, membubarkan parlimen, mengeluarkan dekri eksekutif dan mengisytiharkan perintah darurat.

Erdogan yang telah berkuasa lebih daripada 15 tahun berulang kali menegaskan perlunya mempunyai jawatan Presiden Eksekutif yang kuat untuk mewujudkan negara yang stabil dan mampu mengambil langkah-langkah untuk masa depan dengan lebih yakin.

Pembangkang, sekutu-sekutu Barat dan pengkritik berpendapat sistem itu memberi kuasa yang besar kepada Presiden Eksekutif tetapi mengabaikan keperluan ‘periksa dan imbang’.

Penganalisis dan kolumnis, Avni Ozgurel berpendapat, walaupun sistem baharu akan memboleh­kan Turki ditadbir dengan cara yang lebih cekap dan stabil dalam jangka masa panjang, Ankara pasti berdepan masalah semasa peringkat awal pelaksanaannya.

“Erdogan dan pasukannya akan memperoleh pengalaman dan akan cuba membetulkan kelemahan sistem semasa melaksanakannya,” katanya sambil menambah bahawa akan ada keputusan baharu dan undang-undang untuk mencapai usaha itu.

Krisis penyusutan nilai mata wang lira, peningkatan inflasi dan defisit akaun semasa akan terus menjadi isu yang paling mendesak dalam pentadbiran Erdogan.

Di peringkat antarabangsa, du­nia akan lebih tertumpu kepada ketegangan hubungan antara Ankara dengan Barat.

Ozgurel berkata, masalah dalaman negara dan ketegangan de­ngan Barat akan mula reda jika Erdogan melaksanakan janjinya pada pilihan raya lalu untuk menarik balik perintah darurat sejurus selepas beliau diberi mandat.

Sementara itu, Profesor Universiti Sehir Istanbul, Mesut Yegen berkata, Erdogan mampu mengatasi semua halangan dalam usa­hanya untuk merealisasikan matlamat menjadi Presiden Eksekutif pertama Turki.

Bagaimanapun, Yegen me­negaskan amalan baharu di bawah perintah darurat mewujudkan ke­tegangan di Turki dan meletakkan kerajaan di tempat yang sukar di peringkat antarabangsa ekoran kritikan terhadap hak asasi manusia dan standard demokrasi di negara ini.

Dalam pada itu, Presiden Pe­rancis, Emmanuel Macron yang mengucapkan tahniah atas kejayaan Erdogan menekankan tentang pentingnya dialog yang lebih tenang di antara Turki dan Kesatuan Eropah (EU).

Jurucakap White House, Sarah Sanders pula berkata, pihaknya menggalakkan Turki mengambil langkah untuk mengukuhkan demokrasi dan meneruskan usaha menyelesaikan masalah dalam hubungan dua hala antara negara tersebut.

Perdana Menteri Britain, Theresa May memberitahu, pihaknya berharap kedua-dua negara dapat terus bekerjasama dalam isu ke­selamatan, perdagangan dan usaha memulihkan keadaan di Syria.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini