MELAKA 10 Jun – Kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama rakan-rakan tidak kesampaian apabila melecur di bahagian muka dan jari kanannya selepas disambar api daripada belerang mercun bola di Kampung Pantai Belimbing, Alor Gajah semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa Muhammad Haziq Hasrizam, 10, mendakwa terjumpa mercun tersebut sebelum bertindak mengeluarkan belerangnya.
Difahamkan, mangsa yang ketika itu seorang diri kemudian membakar bahan api tersebut menyebabkannya meletup di hadapan mukanya.
Bapa mangsa, Hasrizam Hasan, 36, memberitahu, anak ketiga daripada lima beradik itu pada mulanya cuba menahan sakit dan menyembunyi kemalangan menimpanya kerana khuatir dimarahi keluarga.
“Bagaimanapun isteri menyedari perkara itu dan terus menghubungi saya yang sedang bekerja.
“Kami kemudian bergegas membawanya ke Hospital Alor Gajah, namun Muhammad Haziq dirujuk ke Hospital Melaka untuk rawatan di Unit Melecur,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka di sini hari ini.
Yang turut hadir melawat mangsa ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Mohd. Sofi Abdul Wahab.
Sementara itu, menurut Hasrizam, doktor memberitahu keadaan Muhammad Haziq stabil dan dibenarkan untuk keluar wad hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Sofi mengingatkan para ibu bapa untuk sentiasa memantau pergerakan anak-anak dan mengambil iktibar kes-kes kemalangan mercun yang sering terjadi terutama pada musim perayaan Aidilfitri.










