KUALA LUMPUR 31 Mei – Boustead Holdings Bhd. mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM38 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2018, meningkat 46 peratus berbanding RM26 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
![]() |
|
LODIN WOK
|
Timbalan Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Boustead, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata, untung sebelum cukai kumpulan turut meningkat kepada RM70.3 juta manakala hasil sebanyak RM2.2 bilion.
Katanya, bahagian kewangan dan pelaburan merupakan penyumbang utama kepada kumpulan untuk suku tahun yang dilaporkan, dengan mencatatkan keuntungan sebanyak RM31 juta berbanding RM21 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.
Ujarnya, kejayaan tersebut dicapai hasil sumbangan lebih kukuh daripada Kumpulan Affin dan juga defisit lebih rendah daripada syarikat usaha sama.
“Sememangnya kami memulakan tahun ini dalam keadaan mencabar dan beberapa bahagian kami mengalami kesannya. Berbekalkan kekuatan kami sebagai sebuah kumpulan kepelbagaian, bahagian kewangan dan pelaburan, farmaseutikal dan industri berat mencatatkan prestasi lebih memberangsangkan.
“Kami yakin bahawa sumber perniagaan yang pelbagai akan membolehkan kami mengharungi cabaran sambil memanfaatkan pertumbuhan ekonomi berasaskan sentimen positif yang baharu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, bahagian perdagangan dan perindustrian mencatatkan keuntungan berjumlah RM28 juta, lebih rendah berbanding RM29 juta yang dilaporkan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
“Walaupun Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. mencatatkan margin operasi dan jumlah jualan lebih tinggi, ini diimbangi oleh sumbangan lebih rendah daripada UAC Berhad ekoran penyusutan hasil,” katanya.
Sementara itu bahagian farmaseutikal mencatatkan untung sebanyak RM24 juta berbanding RM23 juta pada tempoh yang sama tahun lepas disumbang oleh perniagaan sektor swasta dan juga langkah mengoptimumkan kos yang berterusan, manakala bahagian perladangan mencatatkan untung lebih rendah sebanyak RM8 juta berbanding RM42 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.
“Sementara itu, bahagian hartanah mencatatkan defisit RM8 juta berbanding defisit RM7 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya. Walaupun bahagian ini mencatatkan kos pembiayaan bersih lebih rendah dan bahagian kerugian lebih rendah daripada syarikat usahasamanya, Boustead Ikano, angka ini diimbangi keputusan kurang baik daripada segmen hotel,” ujar Lodin.
Kumpulan turut mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 2.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 yang akan dibayar pada 4 Julai 2018 kepada pemegang saham yang tersenarai dalam daftar pada 18 Jun 2018.











