KUANTAN: Kerajaan meluluskan peruntukan pembangunan sebanyak RM278.9 juta kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), Rolling Plan Pertama (RP1) 2026 bagi memperkukuh perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan menerusi pelaksanaan 27 projek baharu serta 59 projek sambungan di seluruh negara.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, daripada jumlah itu, tujuh projek pembangunan fasiliti sedang dilaksanakan di Pahang melibatkan pembelian bangunan Balai Bomba dan Kuarters Gohtong Jaya, pembangunan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Benta, Balai Bomba dan Kuarters Tioman, kerja-kerja menaik taraf BBP Bentong dan BBP Kuantan, pembinaan semula BBP Triang serta kerja-kerja awalan tapak BBP Tanjung Lumpur.
Beliau berkata, kementerian turut mengemukakan permohonan di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) RMKe-13 bagi beberapa lagi projek pembangunan termasuk pembinaan Balai Bomba dan Kuarters Gambang, Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Lumpur serta pembinaan semula Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut.
“Kementerian bersama JBPM terus komited memperkukuh perkhidmatan kebombaan negara melalui penyediaan infrastruktur moden, kelengkapan yang berdaya tahan serta pemerkasaan kompetensi anggota secara berterusan,” katanya pada Majlis Perasmian BBP Sungai Lembing yang disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di sini hari ini.
BBP Sungai Lembing yang dibina dengan kos RM6 juta di atas tapak seluas tujuh ekar merupakan balai bomba kategori D ke-29 di Pahang.
Balai yang mula beroperasi pada 15 Februari lalu itu dijangka memperkukuh perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan kepada kira-kira 10,000 penduduk di Sungai Lembing serta kawasan sekitarnya, selain membantu mempercepatkan tempoh respons terhadap kecemasan di kawasan yang sebelum ini bergantung kepada BBP Indera Mahkota. – UTUSAN








