‘Jangan 'dikencing' lagi, jadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran’

‘Jangan ‘dikencing’ lagi, jadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran’

ONN Hafiz Ghazi berucap pada program Perjumpaan Bersama Masyarakat dan jentera BN di Dataran Flat Cengal Taman Putri, Kulai di sini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Pengundi Johor diingatkan supaya tidak terpedaya dengan janji ‘bulan bintang’ yang diberikan pemimpin parti politik pihak lawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, rakyat perlu jadikan pengalaman pilihan raya lalu sebagai pengajaran selepas pelbagai janji ditaburkan namun sebahagian besarnya gagal ditunaikan.

“Dahulu pelbagai janji manis dibuat pihak sana (Dr. Maszlee Malik) untuk mendapatkan undi rakyat. Mereka janji nak hapuskan tol Simpang Renggam, dah hapus ke belum, mereka janji nak turunkan minyak, dah turun ke belum.

“Selepas tewas di sana, sekarang dia lari ke DUN Puteri Wangsa, cari isu lain, dia main isu jalan berlubang, jalan melambung. Dia tak tahu ke jalan yang dijadikan bahan kempen itu adalah jalan persekutuan di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Mereka tiada modal, jadi saya ingatkan kepada pengundi, jangan sampai kepala basah lagi, jangan kena kencing apabila dijanjikan bulan dan bintang,” katanya ketika berucap pada Program Perjumpaan Bersama Masyarakat dan Jentera BN di Dataran Flat Cengal Taman Putri, di sini hari ini.

Onn Hafiz yang merupakan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap berharap ibu bapa, khususnya yang mempunyai anak-anak remaja dan golongan muda untuk pulang mengundi BN pada PRN pada 11 Julai depan.

“Pada pilihan raya umum 2018 yang lalu, anak muda beramai-ramai pulang ke Johor dan mengajak ibu bapa mereka mengundi parti politik lain setelah terpedaya dengan janji bulan bintang dijanjikan.

“Bagaimanapun, apa yang berlaku sebaliknya. Jadi kali ini saya berharap golongan ibu bapa serta jentera parti akan menyantuni anak muda agar tidak lagi terpengaruh dengan permainan politik yang berunsurkan penipuan dan fitnah,” katanya.

Onn Hafiz turut menggunakan kenyataan calon PH bagi kerusi DUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern sebagai contoh apabila memfitnah kerajaan negeri tidak memberikan beliau peruntukan pada penggal pentadbiran lalu.

“Pengundi Johor khususnya di DUN Bukit Batu, Bukit Permai dan Senai perlu memberikan sokongan kepada calon-calon BN pada PRN ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN