Tun Ramli imbau kenangan lucu bersama P. Ramlee

Tun Ramli imbau kenangan lucu bersama P. Ramlee

AARON Ago Dagang (kiri) bersama Tun Ramli Ngah Talib (dua dari kiri) ketika majlis perasmian Program Minggu Kenangan P. Ramlee 2026: 'Sepanjang Riwayatku' dan Sambutan 100 Tahun Rumah Kelahiran P. Ramlee di George Town, Pulau Pinang, hari ini. - UTUSAN/SAFINA RAMLI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kehebatan dan pengaruh Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang kekal merentasi generasi bukan sekadar menjadi sejarah, malah turut meninggalkan kenangan manis dalam kehidupan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.

Beliau berkata, selain Hang Tuah, sukar untuk mencari tokoh dalam sejarah yang mampu membawa pengaruh merentasi zaman dan generasi seperti P. Ramlee.

“Saya juga mempunyai dua kenangan peribadi yang tidak dapat dilupakan bersama P. Ramlee. Pertama, ketika berusia sekitar sembilan atau 10 tahun di Teluk Anson (kini dikenali sebagai Teluk Intan).

“Ketika itu, ada persembahan daripada P. Ramlee di sebuah dewan yang agak usang, tetapi sesak dengan orang ramai sehingga ada yang terpaksa mengintai melalui celah-celah papan dinding untuk melihat persembahan tersebut.

“Saya masih ingat, saya dan kawan-kawan juga terpaksa mengopek lubang pada papan dinding dewan itu semata-mata hendak melihat P. Ramlee. Apabila papan itu patah dan berbunyi, kami dikejar pula oleh penjaga dewan sebelum masing-masing bertempiaran melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Program Minggu Kenangan P. Ramlee 2026: ‘Sepanjang Riwayatku’ dan Sambutan 100 Tahun Rumah Kelahiran P. Ramlee di sini, hari ini.

Ramli berkata, satu lagi kisah berkaitan P. Ramlee yang masih diingati melibatkan isterinya, Toh Puan Noora Ashikin Raja Abdullah yang ketika itu bertugas sebagai pegawai kredit di Bank Bumiputera Malaysia Berhad pada awal tahun 1973.

Katanya, ketika itu, P. Ramlee hadir ke bank bersama seorang rakan bagi urusan permohonan kemudahan kredit dan isteri beliau pula diberi tanggungjawab untuk mengendalikan urusan berkenaan.

“Rakan-rakan di bank semua datang mengintai dari belakang kerana teruja untuk melihat P. Ramlee. Mereka kata Toh Puan (Noora Ashikin) sangat bertuah kerana dapat berjumpa dengan beliau (P. Ramlee),” katanya.

Menurut Ramli, ketika itu, P. Ramlee sudah kelihatan lebih berisi berbanding zaman mudanya, namun, tetap membawa aura seorang seniman yang disegani ramai.

Beliau berkata, isterinya turut menzahirkan rasa kesal kerana tidak berpeluang merakam gambar bersama P. Ramlee memandangkan ketika itu belum wujud telefon pintar atau kamera yang mudah dibawa seperti hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN