Di hujung sana
Saujana luas lalang yang tumbuh
Terbiar semak belukar berteduh
Hingga terang pandanganku keruh
Hatiku luluh
Aku datang lagi kepadamu
Menziarah persemadian kau di situ
Ditemani ribuan lagi nisan batu
Dan malammu ditemani bayu
Untuk menemanimu aku tidak mampu
Kerana belum sampai waktu
Walau jarang ku jejak tanah ini
Walau jarang ku usap nisan dingin ini
Tapi hati ku tidak pernah jauh
Jiwaku tidak pernah mengeluh
Menadah tangan mengirimkan doa
Moga damai kau di sana
Moga tenang bertemu Sang Pencipta
Di sini
Bersemadilah sebuah rindu yang ku damba
Rindu yang belum terubat
Rindu di jiwa yang sarat
Betapa rindu ini berat
Dalam denyutan kasih yang hebat
Aku pulang dulu ayah
Ada masa ku datang lagi padamu
Ada ruang ku jenguk lagi pusaramu
Walau jarak kita jauh
Aku takkan sesekali mengeluh
Walau dahi dihujani peluh
Aku tetap datang kepadamu
Kerana rinduku bukan separuh
Tapi rinduku sungguh-sungguh
Ayah,
Sudah enam kali Syawal berlalu
Mengetuk rindu yang membuak di kalbu
Seakan Syawal yang datang tidak seindah dahulu
Pergimu di Syawal pilu rinduku bertamu
Azlan Ahmad
Bangi, Selangor










