Berjuang secara ikhlas demi UMNO - Utusan Malaysia

Berjuang secara ikhlas demi UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Jun – Semua calon yang bertanding dalam Pemilihan UMNO nanti digesa memperbetulkan niat dengan berjuang secara ikhlas demi pembaharuan parti itu selepas kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

JALALUDDIN ALIAS

Ketua Penerangan UMNO Ne­geri Sembilan, Datuk Jalaluddin Alias berkata, parti itu kini terpaksa membayar ‘harga’ yang sangat tinggi untuk bangkit dan meraih kembali sokongan rakyat.

Namun katanya, pendaftaran 23,000 calon di semua peringkat pada pemilihan kali ini termasuk 121 calon Majlis Tertinggi menjadi petunjuk terdapat keyakinan serta harapan besar untuk melihat sokongan kepada parti itu kembali pulih lebih awal.

“Minat sebegitu ramai terma­suk generasi muda untuk me­nyertai barisan kepemimpinan adalah suatu fenomena yang sihat dan positif untuk menyuburkan amalan de­mokrasi dalam parti UMNO.

“Walaupun terdapat sebahagiannya yang ditolak (pencalonan) kerana tidak memenuhi syarat kelayakan mengikut Perlembagaan, namun langkah pertama mencalonkan diri itu adalah bukti bahawa mereka ingin sama-sama kembali memperkuatkan UMNO,” katanya yang menawarkan diri sebagai calon Ahli Majlis Tertinggi dalam Pemilihan UMNO hujung bulan ini.

Tambah Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian Jelebu, beliau percaya perkembangan tersebut menunjukkan minat generasi muda untuk berada dalam kepimpinan UMNO Pusat yang mampu melicinkan usaha meremajakan parti itu.

“Syukur mendapat tahu begitu ramai yang mahu bertanding semua jawatan dalam UMNO terma­suk di peringkat bahagian. Malah bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Majlis Tertinggi pun ramai muka baharu serta ahli biasa yang mendaftar,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN