Belajar guna lampu isyarat - Utusan Malaysia

Belajar guna lampu isyarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, KETIKA saya dalam perjalanan pulang ke rumah sambil memandu di lorong tengah Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke) baru-baru ini, sebuah kereta yang dipandu di lorong kiri tiba-tiba menukar arah ke lorong kanan di hadapan saya tanpa memberi lampu isyarat.

Saya membunyikan hon kereta saya dan pemandu berkenaan tergesa-gesa mengemudikan keretanya memasuki lorong asal.

Menukar lorong tanpa memberi lampu isyarat terlebih dahulu adalah cara pemanduan kurang bijak kerana ia boleh menyebabkan perkara yang tidak di ingini berlaku. Syukur tiada sebarang pergeseran atau kemalangan berlaku.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kebanyakan pengguna jalan raya sama ada pemandu kenderaan berat, kereta dan penunggang motosikal tidak memberikan lampu isyarat apabila mereka mahu menukar lorong atau memasuki persimpangan jalan.

Semuanya cuma kerana malas. Malas yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain kerana memberi lampu isyarat lebih awal boleh mengelakkan kemalangan.

Hairan sungguh mereka ini tidak tahu betapa pentingnya memberi lampu isyarat kenderaan dan biasanya penunggang motosikal yang menjadi mangsa.

Ramai dalam kalangan kawan-kawan saya yang prihatin dan cermat menunggang motosikal menjadi mangsa patah atau retak tulang rusuk, tangan atau kaki selain terseliuh gara-gara pemandu kereta dan kenderaan berat malas menggunakan lampu isyarat.

Bukannya susah sangat. Perbuatan yang paling mudah dan senang dilakukan semasa memandu dan menunggang – cuma gunakan satu jari untuk mengaktifkan lampu isyarat.

Saya dapati tujuh daripada sepuluh pemandu dan sembilan daripada sepuluh penunggang motosikal malas memberikan lampu isyarat walaupun mereka berada dalam situasi di mana lampu isyarat itu sangat perlu dinyalakan.

Jangan malas memberi isyarat menukar lorong kerana kemalangan bukan sahaja merugikan diri sendiri malah pengguna jalan raya yang lain juga.

Pemanduan kereta yang selamat boleh menyelamatkan nyawa. Memberi lampu isyarat bila ia diperlukan juga boleh menyelamatkan nyawa. Kepada pemandu dan penunggang yang baharu mendapat lesen memandu, suka atau tidak, sila amalkan memberi lampu isyarat setiap kali ia diperlukan.

Harus diingatkan bahawa lampu isyarat kenderaan bukan sekadar perhiasan. Ia diwujudkan kerana ada sebab – untuk ‘memberitahu’ pengguna jalan raya yang berada di belakang dan di hadapan kita mahu menukar arah atau lorong.

MOHD FAIZAL ABDULLAH

Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini