JOHOR BAHRU 1 Jun – Kerajaan negeri didesak untuk mengemukakan pendirian berhubung pengumuman pembatalan projek keretapi laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) oleh kerajaan Pusat baru-baru ini.
Ini kerana, menurut Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, HSR merupakan satu projek mega yang melibatkan kepentingan negeri ini secara langsung pada skala yang besar.
“Sekiranya kerajaan negeri terus bersikap untuk hanya menerima dan akur sahaja akan segala keputusan kerajaan Persekutuan tanpa mengambil kira pandangan kerajaan negeri, sudah pastilah suara dan kehendak rakyat Johor akan sukar untuk perjuangkan.
“Ini bukan sahaja dalam isu HSR tetapi juga pelbagai isu lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Justeru, UMNO Johor kesal dengan sikap Menteri Besar, Datuk Osman Sapian yang dilihat tidak bersungguh-sungguh bersuara dalam perkara melibatkan kepentingan negeri ini sekali gus tindakan beliau akan mengagalkan usaha menjadikan Johor sebagai negeri nombor satu dan menyusutkan pengaruhnya menjadi hanya salah satu dari negeri lain. – UTUSAN ONLINE










